BUAT ANAKANDA PELAJAR TKN 3

Wednesday, September 30, 2009 at 8:08 PM

“Allahhumma ya ALLAH, segala puji bagi-Mu, dan salawat serta salam ke atas Rasulullah saw.

Ya Allah! Ya Rahman! Ya Rahim!
Kami menyusun jari penuh pengharapan, memohon doa dan restu daripada-Mu. Kurniakanlah kepada anak-anak kami kefahaman para nabi, dan hafalan para rasul dan ilham para malaikat yang hampir dengan-Mu

Ya ALLAH, bukakanlah pintu hati anak-anak kami yang akan menduduki peperiksaan PMR ini, terangkanlah hati mereka, bernaskanlah pemikiran mereka, tenangkanlah perasaan mereka, berikanlah mereka kesihatan yang baik, permudahkanlah mereka dalam menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik dan betul, berikanlah mereka kejayaan yang cemerlang 8A, dan berikanlah mereka keberkatan. Amin ya robbal ‘aalamin”.

at 8:21 AM

Kepada Tn Hj. Alim B Konteng. Selamat Menyambut Hari Jadi yang Ke-44
Didoakan panjang umur murah rezeki & dalam rahmat Allah selalu.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI DARIPADA AYAHANDA SUAMI ISTERI DAN KELUARGA

Wednesday, September 16, 2009 at 8:06 AM
[selamat+hari+raya.gif]

10 JENIS MANUSIA YANG MENGHALANG KEMAJUAN ORGANISASI:

Saturday, September 12, 2009 at 1:57 AM
1. THE TANK : Terlalu ghairah dan sanggup memburukkan rakan sekerja demi kepentingan dirinya.

2. THE SNIPER : Sengaja mencari kelemahan dan kesalahan orang lain dan menggunakannya sebagai ”senjata” untuk memburukkan orang tersebut.

3. THE GRENATE : Emosi tidak stabil dan boleh ”meletup” bila-bila masa sahaja.

4. THE KNOW-IT-ALL : Berilmu pengetahuan, penuh keyakinan tetapi tidak menerima pendapat atau idea orang lain.

5. THE THINK-THEY-KNOW-IT-ALL : Suka menunjukkan kepandaian sendiri tetapi kurang berpengetahuan, kadang-kadang memberi fakta yang salah.

6. THE YES PERSON : Sentiasa dengan jawapan ”ya” atau ”beres” tetapi tidak melaksanakan kerja seperti yang dijanjikan.

7. THE MAYBE PERSON : Tidak boleh membuat keputusan konkrit sehingga sesuatu masalah tidak dapat diselesaikan.

8. THE NOTHING PERSON : Tiada pendidikan dan pendapat dalam semua perkara.

9. THE NO PERSON : Pesimistik, berfikiran negatif, dan kadang-kala menjejaskan emosi orang lain.

10. THE WHINER : Sikap terlalu negatif dan pesimis. Semua perkara dijangka akan memudaratkan individu dan organisasi.


Lailatul Qadar

at 1:33 AM
Lailatul Qadar
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: 'Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakir pada bulan Ramadan"

Perkataan 'Lailatulqadar' tidak boleh dipisahkan dengan bulan Ramadan. Setiap kali tibanya bulan Ramadan pastinya semua umat Islam ternanti-nanti dan berharap akan dapat menemui malam tersebut yang hanya muncul sekali sahaja dalam setahun pada bulan yang mulia ini, satu malam yang cukup istimewa sehingga Allah menjanjikan ganjaran pahala yang begitu tinggi, menyamai ibadah beriktikaf selama 1000 bulan atau 83 tahun bagi orang yang beramal pada malam tersebut.

Walaupun Allah tidak memberitahu secara tepat bila malam tersebut akan muncul, namun sebagai umat Islam kita terutama guru-guru dan anak-anak didik SAKTI terutama pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM 2009 seharusnya berusaha untuk merebut peluang keemasan itu setiap malam. Paling tidak pada bulan Ramadan kita penuhi dengan aktiviti-aktiviti ibadah terutamanya pada waktu malam. Tentu tidak rugi jika kita beramal pada malam itu sekali pun kita bukan orang yang terpilih menemui malam Lailatulqadar kerana kita tetap akan mendapat ganjaran pahala yang tidak kurang hebatnya berbanding dengan hari-hari biasa.

Sebenarnya, kedatangan malam Lailatulqadar bukan perkara mudah untuk kita mendapatkannya. Semuanya bergantung kepada rezeki dan keikhlasan seseorang itu ketika mereka melakukan ibadah. Hanya orang yang terpilih sahaja diberi kesempatan oleh Allah menemui malam tersebut yang sekali gus akan memperolehi ganjarannya.
Persoalannya bagaimana kita hendak mengenali malam tersebut. Apakah ada tanda-tanda atau ciri-cirinya. Menurut Hasan al-Basri, antara tanda-tanda turunnya malam Lailatulqadar ialah suasana alam pada malam itu tenang, damai, tenteram, tidak panas dan tidak terlalu dingin. Cahaya matahari keesokan harinya tidak terik.
Rasulullah s.a.w. sangat menggalakkan umatnya supaya berusaha mencari peluang untuk beriktikaf pada malam Lailatulqadar. Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Carilah malam Lailatulqadar pada bilangan ganjil dalam tempoh sepuluh hari terakhir bulan Ramadan". (Hadith riwayat Bukhari, Muslim, At-Tarmizi dan Ibnu Majah)

ALLAH Subhanahu Wataala berfirman dalam surah Al-Qadar ayat 1-5 yang bermaksud: "Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam Al-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kebesaran Malam Al-Qadar itu? Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut): Sejahtera malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!".

Malam Al-Qadar ialah satu malam yang sangat tinggi nilainya antara malam-malam yang utama dalam Islam, malam yang penuh dengan keberkatan. Satu malam pada malam Al-Qadar lebih utama nilainya daripada seribu bulan. Andainya kita beramal pada malam tersebut dan berkebetulan malam Al-Qadar maka pahalanya akan dilipatkaligandakan seolah-olah kita beramal selama seribu bulan iaitu kira-kira 83 tahun 4 bulan bahkan lebih lagi daripada itu. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Qadar ayat 3 yang bermaksud, "Malam Al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan."

Pada malam Al-Qadar malaikat akan turun ke dunia untuk memberikan penghormatan kepada orang yang berpuasa dan menyaksikan amal ibadat mereka. Dari Anas Radiallahuanhu, Rasulullah S. A. W bersabda yang bermaksud: "Pada malam kemuliaan (Lailatul Qadar) maka turunlah Jibril a. s ke dunia dengan sekumpulan malaikat, lalu berdoa memohon rahmat ke atas setiap hamba Allah yang mereka lihat sedang beribadat berdiri atau duduk sambil berzikir kepada Allah." (Riwayat Imam Al-Baihaqi). Bagi mereka yang melakukan ibadat bersungguh-sungguh pada malam Ramadan, mereka telah dijanjikan dengan rahmat dari Allah Subhanahu Wataala.

Dalam sebuah hadis ada menyebutkan doa yang baik jika kita mendapati malam Al-Qadar itu. Pada satu malam dalam bulan Ramadan, Aisyah isteri Rasulullah S.A.W bertanya kepada baginda "Wahai Rasulullah, andainya aku ditakdirkan bertemu malam Al-Qadar, apa yang seharusnya aku ucapkan dalam doaku? Rasulullah S. A. W bersabda, "Ucapkanlah: "Ya Allah, Sesungguhnya Engkau maha pemaaf dan Engkau juga menyukai kemaafan, maka berikanlah kemaafan ke atasku."

Doa ini merangkumi segala-galanya, iaitu seseorang itu memohon kepada Allah agar menerusi rahmat-Nya mengampuni dosa-dosanya dan juga kesalahan yang telah dilakukannya.

Menurut pendapat yang sahih, malam atau masa lailatulqadar itu adalah antara malam-malam ganjil pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmizi yang bermaksud:
"Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadan."

Dalam mencari malam Al-Qadar yang tidak kita ketahui secara tepat bilakah berlakunya, kita digalakkan untuk melakukan ibadat dengan lebih tekun lagi terutamanya pada malam-malam terakhir bulan Ramadan dengan mendirikan ibadah-ibadah malam, melakukan pelbagai solat sunat, tadarus, berzikir, berdoa dan sebagainya.
Sepertimana menurut Imam Al-fakh Ar-Razi mengatakan adapun antara sebab Allah merahsiakan malam Al-Qadar itu bertujuan supaya umat-Nya akan terus beribadah bukan sahaja pada waktu-waktu yang tertentu. Janganlah dibiarkan malam berlalu begitu sahaja tanpa sebarang usaha untuk merebut peluang yang telah disediakan oleh Allah S.W.T yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain.

Kepada guru-guru dan anak-anak SAKTI yang dikasihi rebutlah peluang yang disediakan oleh Allah s.w.t ini.

TAHNIAH, TINGKATKAN BAKTI DAN PERKHIDMATAN

Tuesday, September 8, 2009 at 11:10 AM
Assalamualaikum wb.
Tahniah kepada guru-guru yang mendapat kenaikan pangkat:
Guru Cemerlang (GC)
1. Cikgu Hjh. Hazlina bte Jaafar
2. Cikgu Siti Rafidah bte Rahmat

Guru DG44
1. Cikgu Azman bin Isa
2. Tn. Syed Muzni bin Syed Mustafa
3. Cikgu Rohiza bte Jamaluddin

Selamat datang guru baru
Cikgu Laura
Friday, September 4, 2009 at 9:46 PM


KELEBIHAN BULAN RAMADHAN

Berikut beberapa hadith yang menceritakan fadhilat bulan Ramadan untuk kita hayati bersama dan mendapat keberkatannya :

1. Daripada Abi Hurairah beliau berkata :Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

"Apabila telah tibanya Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan."

Hadis riwayath Bukhari, Muslim& Nasaaei.

2. Dan daripada Abu Hurairah daripada Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu."

Hadith riwayat oleh Nasai'e, Ibn Majah dan Baihaqi

3. Dan Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang artinya :

"Sesiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka akan diampunkan baginya dosanya yang telah lalu."

Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasai'e dan Baihaqi

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

"Solat yang difardukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar).

Kisah Penjual Tempe

Thursday, September 3, 2009 at 9:38 AM
Sedutan untuk renungan bersama.....

ASSALAMUALAIKUM. ..

Sesungguhnya tiada kuasa lain yang dapat menandingi kekuasaan Allah swt...amin

Kisah Penjual Tempe semoga menjadi iktibar.

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar tempe yang diperbuatnya daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi - separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak.Diperiksanya
beberapa bungkusan yang lain.Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagi-Nya tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua belah tangannya sambil berdoa , "Ya Allah , aku memohon kepada-Mu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin"

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan diapun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka diapun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagi-Mu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin"

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak
kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walau bagaimanapun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku . Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun berangkat.
Sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan.

Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. "Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk
mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi." Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya"Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.

Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?" Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England
teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan...

Moral:

Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hamba-Nya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancangan-Nya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan

Keempat : Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak
pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU ,
menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan ke
arah kebaikan..