Tip komunikasi berkesan

Friday, April 30, 2010 at 11:01 PM
Petikan Myadha blogspot
Komunikasi yang berkesan mampu menarik minat rakan-rakan, keluarga mahupun orang di sekeliling untuk menyukai anda, kadangkala, berbicara dengan rakan sendiri pun boleh menimbulkan pergaduhan. Ini mungkin terjadi disebabkan penggunaan perkataan yang kurang sesuai, sekali gus membuatkan rakan berkecil hati.

Hubungan persahabatan yang telah lama terjalin juga menjadi salah satu faktor mengapa kita kurang peka dengan perasaan rakan.

Komunikasi sangat penting dalam kehidupan manusia kerana ia merupakan proses penyampaian atau pemindahan mesej dari seorang kepada yang lain.

Komunikasi boleh terdiri daripada pelbagai bentuk sama ada secara lisan atau sebaliknya. Sebagai contoh, bahasa badan, bahasa isyarat, sentuhan, hubungan mata, penulisan dan sebagainya.

Berikut ialah beberapa maklumat yang boleh dijadikan panduan berguna untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi antara ahli keluarga dan rakan-rakan.

Tunjuk minat ketika berbual

Setiap kali berkomunikasi dengan rakan atau orang lain, lihat ke dalam mata mereka dan tunjukkan minat yang mendalam. Ingat, jadikan suasana komunikasi dalam keadaan santai agar mereka bebas mengeluarkan pendapat dan pandangan. Jangan menunjukkan perasaan jemu jika rakan kerap bertanya atau berbicara mengenai perkara yang sama.

Sentiasa beri tumpuan
Sabar dan luangkan masa untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Jika rakan menceritakan sesuatu perkara, jangan mencelah dengan cerita anda. Biarkan dia menghabiskan ceritanya dahulu, kemudian barulah anda pula memulakan cerita. Melalui tumpuan yang anda berikan, ia membuatkan rakan merasa dihargai.

Berhenti bercakap
Anda tidak dapat mendengar apa yang dibicarakan oleh rakan sekiranya anda juga ingin bercakap. Malah, komunikasi yang terjadi antara kedua-dua belah pihak juga akan menjadi hambar dan dingin. Ini menimbulkan rasa kurang senang kepada salah satu pihak. Tidak mustahil mereka akan mencari rakan lain untuk mewujudkan komunikasi yang lebih berkesan.

Pendengar yang aktif
Pendengar yang baik mampu menyimpulkan fakta-fakta untuk pemahaman mereka. Jangan teragak-agak bertanya semasa perbualan tersebut. Dengan banyak bertanya anda akan lebih memberi tumpuan kepada perbincangan tersebut. Selain itu, ia akan menggalakkan rakan meneruskan perbincangan dan menunjukkan anda ialah seorang pendengar yang setia.

Menyesuaikan diri
Anda boleh membantu rakan-rakan untuk berasa selesa dan diterima jika anda mampu menyesuaikan diri dengan emosi mereka. Jika rakan menceritakan perkara sedih, cubalah beri semangat atau menunjukkan mimik wajah yang sedih bagi membuatkan mereka berasa lega. Secara tidak langsung, anda membawa mesej bahawa anda memahami apa yang diluahkan dan mengenal pasti masalah dengan jelas.

Sabar dan kawal emosi
Kemarahan boleh menyebabkan berlakunya salah faham terhadap apa yang sebenarnya ingin rakan anda luahkan. Anda harus memberi masa untuk bertindak balas. Ini akan membuatkan anda lebih tenang dan dapat mengekalkan kesabaran.

Prihatin
Walaupun berada dalam keadaan bosan, tunjukkan bahawa anda masih berminat dan prihatin dengan topik yang dibualkan. Galakkan mereka meneruskan perbualan dengan cara berdiam sejenak. Tetapi bukan berdiam secara berterusan kerana ia mungkin akan menyebabkan komunikasi itu tidak menjadi.

Gembira
Jadikan perbualan positif dengan menyatakan bahawa anda mahu membantu menyelesaikan masalah mereka. Pandangan yang positif akan membuatkan perbualan itu lebih produktif serta membina.

Jangan Ada Benci Di Hati

at 10:54 PM
Ramai juga orang yang gagal dalam pergaulan kerana menyimpan perasaan BENCI dalam hati mereka. Allah itu maha adil. Perasaan benci dalam diri kita akan menyebabkan ramai orang mudah benci terhadap kita. Misalnya, orang yang membenci ibu bapanya mungkin akan dibenci oleh rakan-rakannya. Orang yang membenci jirannya mungkin akan dapat kebencian daripada rakan sekerjanya atau malahan ketua jabatannya.

Justeru hapuskanlah segala perasaan benci daripada kita agar kita mudah menjalin hubungan dengan orang lain.

Kaedah Mengikis Benci

Cara yang terbaik untuk mengikis benci ialah dengan memaafkan semua orang sebelum tidur malam. Jika setiap malam sebelum tidur kita sentiasa mencuci muka, memberus gigi, membersihkan diri dan mengibas tempat tidur, tidak bolehkah kita mencuci hati kita dengan memaafkan semua orang sebelum tidur? Pengalaman secara peribadi penulis menunjukkan bahawa dengan memaafkan semua orang sebelum tidur, kita akan dapat membersihkan hati serta menenangkan fikiran dan mudah menjalin hubungan baik dengan orang lain.

Faktor-faktor Yang Boleh Merangsang Kehebatan Dalam Pergaulan

Antara faktor yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain dan orang lain mudah tertarik kepada kita ialah:

1) Jaga solat dan lakukan ibadah-ibadah khusus dan umum yang lain.

2) Sentiasa bersangka baik terhadap semua orang (walaupun kita perlu berwaspada setiap masa).

3) Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling kita.

4) Banyakkan bersedekah, sama ada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga, masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang berterusan.

5) Sentiasa memperbanyakkan sabar. Nabi s.a.w. pernah berpesan supaya mencari 144 sebab sebelum kita memarahi orang.

6) Sentiasa ceria apabila berjumpa dengan orang lain. Pastikan setiap orang seronok berinteraksi dengan kita.

7) Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang -menyayangi antara satu dengan yang lain.

8) Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yang kurang sopan akan menyebabkan orang lain rasa mual terhadap kita.

9) Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insyaAllah orang lain akan tertarik kepada kita.

10) Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain, terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke pangkal jalan apabila mengingati mati.

11) Sentiasa syukur dan redha atas pemberian Allah swt.

12) Sentiasa memberi salam dan ucap selamat kepada orang lain. Pemberian salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia.

13) Pamerkan simpati kepada setiap individu-individu yang memerlukan simpati dan perhatian.

14) Jadilah pendengar dan kawan yang setia.

15) Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan kelemahan atau keburukan orang lain.

16) Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan iringi perpisahan dengan doa.

Terlebih Dahulu Baiki Diri

Untuk menarik perhatian orang lain terhadap diri kita, kita perlu terlebih dahulu menyayangi dan memperbaiki diri kita. Orang yang mengasihi dirinya tidak akan melakukan sebarang kegiatan yang boleh mensabotaj dan merosakkan dirinya. Setiap tindak-tanduknya akan dilakukan secara berhikmah dan sentiasa memikirkan perasaan orang lain. Ingatlah pesanan seorang sarjana:

"Orang tidak kisah setakat mana yang anda tahu (berilmu), sehinggalah mereka tahu yang anda kisah terhadap mereka"
at 10:42 PM
Berkomunikasi dengan anak remaja
Thursday, April 29, 2010
Alam remaja merupakan suatu proses perkembangan yang dilalui oleh setiap manusia. Proses ini membawa kepada perubahan yang perkembangan fizikal, mental dan juga sosial diri seseorang.

Oleh sebab itu ibu bapa seharusnya memberikan perhatian dan bimbingan yang lebih optimum kepada anak remaja.

Remaja dan permasalahan sememangnya sukar dipisahkan. Hal ini menjadi bertambah rumit bagi sesetengah ibu bapa kerana sukar untuk memahami dan berkomunikasi dengan anak remaja mereka.

Menurut pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Saedah A. Ghani, kebanyakan ibu bapa merasakan mereka sudah menjalankan tanggungjawab dan memberikan perhatian yang sewajarnya tetapi bagi remaja itu masih belum cukup.

''Komunikasi membawa maksud suatu proses penyampaian fikiran dan perasaan melalui bahasa, mendengar, bicara gerak tubuh dan ungkapan emosi.

''Melalui komunikasi antara ibu bapa dengan anak remaja dapat melahirkan hubungan seimbang dan harmoni serta membentuk suasana keterbukaan dan saling mendengar antara satu sama lain," ujarnya.

Jelasnya, berkomunikasi dengan sesiapa pun termasuk dengan anak sendiri memerlukan teknik dan cara yang betul.

''Hal ini penting agar nasihat dan pesanan yang akan kita sampaikan dapat diterima dengan baik oleh anak,'' tegasnya.

Oleh hal yang demikian, ada beberapa kaedah yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa apabila berkomunikasi dengan anak remaja.

''Sebagai ibu bapa mereka perlu membina suatu hubungan yang rapat dengan anak remaja supaya apabila berkomunikasi nanti mereka dapat menerima dan memahami maksud yang ingin disampaikan," katanya.

Namun tegas Dr. Saedah, kebanyakan ibu bapa sering merasakan diri mereka lebih tahu segalanya sehingga menyebabkan hak sebagai anak dipertikaikan.

''Seharusnya, sebagai ibu bapa mereka bertindak menjadi pendengar yang setia supaya anak remaja dapat meluahkan masalah dengan selesa,'' katanya.

Malah katanya lagi, tidak salah jika ibu bapa menerima dan memahami perasaan remaja bila mereka menghadapi sesuatu situasi sama ada sedih, gembira, marah, sakit hati dan sebagainya.

Menurutnya, kemahiran berkomunikasi amat penting ketika berhadapan dengan anak remaja kerana pada peringkat umur ini mereka selalunya lebih agresif dan mempunyai pendapat sendiri.

''Sewajarnya ibu bapa perlu mengenal diri sendiri dan mampu memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada pada mereka ketika berkomunikasi dengan anak remaja,'' ujar Dr. Saedah yang menjelaskan kaedah diplomasi banyak membantu mendidik anak-anak dalam berkomunikasi.

Komunikasi

Dalam pada itu, ibu bapa juga harus mengenali diri anak remaja. Jika diperhatikan dengan mendalam remaja lazimnya mempunyai konsep diri yang unik dan ini penting bagi ibu bapa untuk memahami dan memiliki pengetahuan tentang sikap, emosi dan perubahan serta gaya hidup remaja.

Masalah dalam berkomunikasi ini sebenarnya disebabkan ibu bapa kurang memahami perasaan anak.

Oleh itu, ibu bapa perlu meningkatkan kemampuannya dan mencuba memahami perasaan anak sebagai lawan dan kawan berbicara.

Perasaan memainkan peranan yang sangat penting dalam berkomunikasi, kerana jika seseorang mengalami perasaan gembira, ini akan memudahkan mereka untuk berkomunikasi atau menyampaikan pendapat atau meluahkan perasaan yang terbuku di hati.

Hal sebaliknya akan berlaku jika mereka berasa marah sedih atau kecewa.

''Pada dasarnya keperluan manusia yang paling penting adalah keinginan agar perasaannya difahami, didengari, dihargai dan dirinya dapat diterima,'' katanya.

- UTUSAN