Lawatan & Program Pengantarabangsaan di SMA 61 Jakarta serta Universiti Indonesia

Sunday, May 30, 2010 at 10:54 AM
SMA 61 Jakarta






UI



Thursday, May 20, 2010 at 8:52 PM

KEPADA SEMUA PELAJAR SAKTI YANG DIINGATI

Selamat menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun 2010. Jawablah dengan tenang. Semoga semuanya beroleh keputusan yang cemerlang.

Ayahanda Pengetua

Adab dan Kesopanan Belajar Dengan Guru

Saturday, May 15, 2010 at 10:36 AM
Dalam ajaran agama Islam martabat guru adalah amat tinggi. Guru berperanan sebagai pembimbing, pengasuh malah sebagai penasihat. Jika tiada didikan dan asuhan guru maka umat manusia sepanjang masa berada dalam situasi jahiliah lantaran tidak ada ilmu yang boleh dijadikan sebagai panduan dan bimbingan. Oleh kerana itu Islam sangat memuliakan darjat guru. Sesiapa yang memuliakan guru bererti ia memuliakan Rasul, sesiapa yang memuliakan Rasul bererti memuliakan Allah dan sesiapa memuliakan Allah syurgalah tempat kediamannya. Sebaliknya jika seseorang menderhakai guru bererti ia menderhakai Rasul. Barang siapa yang menderhakai Rasul bererti ia memurkai Allah. Sesiapa yang memurkai Allah maka nerakalah tempatnya. Oleh kerana itu seorang pelajar mestilah memelihara adab-adab belajar bersama guru.

Adab-adabnya antara lain adalah seperti berikut:
1. Memberi salam dan sentiasa hormat kepada guru.
2. Duduk dengan sopan dan sentiasa dalam keadaan tenang.
3. Jika ingin bertanya minta izin terlebih dahulu.
4. Cari masa yang sesuai untuk bertanya.
5. Sentiasa menampakkan sikap menerima pendapat guru.
6. Hindari daripada menyinggung perasaan guru.
7. Memberi bantuan kepada guru apa yang dapat dibantu.
8. Lakukanlah apa yang paling disenangi oleh guru.
9. Bercakap dengan baik dengan guru, dengan menggunakan bahasa yang baik.
10. Tidak meninggikan suara semasa bercakap dengan guru.

Dalam penulisan agung “Ihya Ulumddin” karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu. Dalam penulisannya, beliau telah mengenalpasti 10 panduan yang boleh dijadikan asas dan pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini perlu dihayati dan dicernakan dalam diri para pelajar dalam usaha mereka menuntut ilmu sama ada di peringkat rendah atau di peringkat pengajian tinggi.

Pertama,Mendahulukan kesucian batin daripada kerendahan budi dan sifat-sifat tercela. Kerana ilmu pengetahuan itu adalah kebaktian hati, salat batin dan pendekatan jiwa kepada Allah Taala. Bermaksud para pelajar perlu menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan mereka yang jiwanya sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurnian hati dan jiwa menyebabkan pelajar tersebut sukar untuk menguasai ilmu. Ini kerana secara prinsipnya, ilmu itu bersifat suci. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang musyriq itu najis” (at-Taubah:28).

Istilah najis yang dijelaskan oleh al-Quran merupakan simbolik yang dimengertikan sebagai sifat kotor tersebut mesti dijauhi dan dihindari disebabkan sifat tersebut boleh merosakkan manusia.

Kedua, Seseorang pelajar itu hendaklah mengurangkan hubungannya dengan urusan duniawi, menjauhi kaum keluarga dan kampung halaman. Sebab segala hubungan ini mempengaruhi dan memalingkan hati kepada yang lain. Maksudnya para pelajar disarankan supaya tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan pelajar tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar yang hakiki dan memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua organ hati dalam rongganya” (al-Ahzab:4).

Oleh yang demikian, sekiranya fikiran para pelajar dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mencemari mentalitinya menyukarkan untuk mengetahui hakikat ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu secara sebahagian, melainkan ia memberi perhatian dan tumpuan yang sepenuhnya”. Beliau memberi perumpamaan terhadap pemikiran yang dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak berkait dengan ilmu seperti air yang mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya diserap oleh tanah dan sebahagian lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada lagi yang sampai ke ladang.

Ketiga, Seseorang pelajar itu jangan menyombong dengan ilmunya dan jangan menentang gurunya. Tetapi menyerah seluruhnya kepada guru dengan keyakinan kepada segala nasihatnya sebagaimana seorang sakit yang bodoh yakin kepada doktor yang berpengalaman.’ Maksudnya para pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak terhadap golongan intelektual dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk menyerahkan segala urusan berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru seperti orang sakit yang mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para pelajar dituntut bersifat rendah diri, baik sangka dan setia kepada guru serta sedia menawarkan perkhidmatan kepadanya. Oleh yang demikian, pelajar tidak boleh bersikap sombong dengan guru seperti tidak mengambil manfaat ilmu yang disampaikannya dengan alasan antaranya, beranggapan guru tersebut tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sikap seperti ini menunjukkan kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang ada dalam diri seseorang pelajar. Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa terhutang budi terhadap guru yang mencurahkan ilmu yang memandunya ke arah kebenaran.

Keempat, ‘Seorang pelajar pada tingkat permulaan, hendaklah menjaga diri daripada mendengar pertentangan orang tentang ilmu pengetahuan sama ada yang dipelajarinya itu ilmu keduniaan atau keakhiratan. Kerana yang demikian itu meragukan fikirannya, menghairankan hatinya melemahkan pendapatnya. Maksudnya orang yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat di kalangan manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Secara rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap disiplin ilmu yang baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk membuat penyelidikan yang mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang disiplin ilmu secara mahir dan mendalam tidak menjadi halangan untuk mengkaji perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara merupakan salah satu daripada metodologi medan penyelidikan ilmu.

Kelima, ‘Seorang pelajar itu tidak meninggalkan suatu mata pelajaran pun dari ilmu pengetahuan yang terpuji dan tidak satu macam pun dari berbagai macamnya selain pandangan di mana ia memandang kepada maksud dan tujuan dari masing-masing ilmu itu.Maksudnya seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu yang terpuji melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sekiranya faktor usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus mengambil peluang untuk meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya jika faktor usia menjadi kekangan terhadap usaha menimba ilmu pengetahuan maka seseorang itu perlu mengetahui perkara asas dan penting dalam ilmu yang dikuasainya berdasarkan kemampuannya.

Keenam,Seorang pelajar itu tidak memasuki sesuatu bidang dalam ilmu pengetahuan dengan serentak tetapi memelihara tertib dan memulainya dengan yang lebih penting.Maksudnya seorang pelajar tidak memaksa dirinya untuk menguasai semua disiplin ilmu secara sekaligus. Tindakan yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang ilmu itu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah terbatas oleh pelbagai faktor daripada aspek pengalaman, realiti semasa, kepakaran dan keupayaan mentaliti seseorang.


Ketujuh, Bahawa tidak mencempelungkan diri ke dalam sesuatu bidang ilmu pengetahuan sebelum menyempurnakan bidang yang sebelumnya. Maksudnya seseorang tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum menguasai dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang sebelumnya. Ini kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu sama lain. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami sesuatu ilmu dengan tertib dan tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu konsep ilmu dengan baik. Pemahaman manusia tentang konsep ilmu akan lebih sempurna dan konsisten jika setiap cabang ilmu dihadam dan dicernakan mengikut tahap-tahap dan fasa yang tersusun dan terancang.

Kelapan,Seorang pelajar itu hendaklah mengenal sebab untuk dapat mengetahui ilmu yang termulia.Maksudnya seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu kepentingan ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut dapat diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Matlamat utama ilmu yang dipelajari itu tidak bertentangan dengan syariat dan membawa kemudharatan kepada umat manusia.

Kesembilan, ‘Bahawa tujuan pelajar sekarang ialah menghiasi kebatinannya dan mencantikkannya dengan sifat keutamaan. Dan nanti ialah mendekatkan diri kepada Allah Taala mendaki untuk mendekati alam yang tinggi daripada malaikat dan orang-orang muqarrabin (orang yang mendekatkan dirinya kepada Allah). Dan tidaklah dimaksudkan dengan menuntut ilmu itu, untuk menjadi kepala, untuk memperolehi harta dan kemegahan, untuk melawan orang-orang bodoh dan untuk membanggakan diri dengan teman-teman.’ Maksudnya para pelajar perlu bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu. Kepentingan nilai ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang bersifat riak dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu memiliki jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Meskipun manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keduniaan tidak boleh diabaikan, kerana ia sebahagian daripada fardhu kifayah. Dalam era globalisasi ini, ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah sangat penting bagi masyarakat Islam kerana ia dianggap sebagai satu kemaslahatan ( keperluan ) yang perlu dikuasai oleh umat Islam. Sekiranya manusia mengabaikan bidang disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam zaman yang serba canggih. Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:
“ Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)


Kesepuluh, Bahawa harus diketahui hubungan pengetahuan itu kepada tujuannya supaya pengetahuan yang tinggi dan dekat dengan jiwanya itu membawa pengaruh kepada tujuannya yang masih jauh dan yang penting membawa pengaruh kepada yang tidak penting. Maksudnya setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Di samping itu, ia menjadi asas utama untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain disebabkan ia mempunyai kesinambungan di antara satu cabang ilmu dengan disiplin ilmu yang lain.

Berdasarkan garis panduan yang telah diberikan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya “Ihya Ulumiddin” diharapkan dapat memberi pedoman yang berfaedah kepada mereka yang bergelar pelajar. Mutiara kata-kata yang dicurahkan oleh ulama’ silam perlu diambil perhatian dan diamalkan oleh individu yang bergelar pelajar, agar ilmu yang dipelajari diberkati oleh Allah dan dapat memberi faedah besar kepada umat sejagat.

SEMUA GURU SAKTI YANG DEDIKASI

Thursday, May 13, 2010 at 7:52 PM

Perutusan Hari Guru 2010 - KPPM

Sunday, May 9, 2010 at 8:14 AM
Perutusan Hari Guru 2010 - KPPM
Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan pelajar yang dikasihi sekelian.

1. Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, sekali lagi pada tarikh ini, 16 Mei 2010, kita dapat menyambut hari paling istimewa bagi para pendidik iaitu Hari Guru. Tanggal 16 Mei setiap tahun sejak 1972 disambut untuk kita semua memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion keguruan selain mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.

2. Tahun ini, sekali lagi tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ dipilih kerana ia menepati aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan. Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik agar setiap kita dapat mengembangkan potensi dan bakat secara optimum. Sekolah perlu menjadi acuan dan landasan yang mampu melahirkan golongan pelapis generasi muda yang bergerak seiring aspirasi negara dengan mengetepikan perbezaan yang berdasarkan kepada bangsa dan agama. Oleh itu, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbir profesional kelas pertama.

3. Standard Guru Malaysia menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang. Para guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan. Guru harus bijak membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard serta mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri dalam usaha mencapai kecemerlangan tugas sebagai pendidik dan pembina negara bangsa.

4. Falsafah Pendidikan Guru menekankan kriteria seorang guru haruslah berperkerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Setiap guru juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka supaya generasi pelapis akan mampu mengorak langkah kearah kecemerlangan diri, bangsa dan negara.

5. Warga pendidik harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk akhlak serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran pedagogi. Guru harus dan mesti boleh mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang beliau lakukan memperhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang, sehingga nilai-nilai murni dapat di tanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik. Saya penuh yakin dengan kewibawaan para guru di Malaysia dalam mempersiapkan diri anak didik agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan arus globalisasi.

Warga pendidik dan pelajar sekelian,

6. Matlamat dan dasar yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membina Negara Bangsa adalah untuk memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu. Kementerian Pelajaran menyediakan pendidikan yang dapat menyemai nilai-nilai ini bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi.

7. Bagi merealisasikan hasrat ini agen perubahan yang utama adalah guru dan institusi pendidikan.Guru harus memainkan peranan untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan. Peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Aspirasi negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa menuntut komitmen yang tinggi daripada semua warga pendidik. Guru harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT, berkemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan negara.

8. Konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri menekankan kesejahteraan rakyat dan keberhasilan yang dapat dinikmati seperti yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia “Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Bagi mencapai kesejahteraan, warga pendidik harus menghayati dan berkongsi bersama falsafah dan objektif ‘collegiality’ yang membawa maksud “the cooperative relationship with colleagues” (keserakanan). Kita harus faham bahawa prinsip keserakanan yang positif boleh mempercepatkan proses pencapaian kecemerlangan secara bersama. Prinsip keserakanan harus wujud dalam diri setiap pendidik supaya aspirasi negara dapat diterjemahkan dalam satu kefahaman bersama.

9. Saya dengan ini menyeru kepada semua warga pendidik supaya membulatkan tekad dan menguatkan azam untuk sama-sama bekerja bagi memartabatkan organisasi pendidikan kita. Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah dengan semangat keserakanan bagi memartabatkan profesion keguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia yang menekankan ideologi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Penerapan konsep 1Malaysia harus dipupuk di peringkat sekolah kerana pembentukan sahsiah dan karakter remaja adalah ketika di alam persekolahan. Sama-samalah kita berdoa agar apa yang direncana akan terlaksana mengikut rangka kerja dan perancangan.
10. Penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2010 meliputi semua agensi kerajaan. Sistem pengukuran prestasi menggunakan KPI di sekolah adalah penting dan perlu dilaksanakan. Tuntutan terhadap sekolah dalam kecemerlangan akademik, kokurikulum, disiplin yang baik, amalan-amalan pengurusan, kepimpinan, kompetensi guru yang tinggi dan lain-lain memerlukan sekolah menggunakan strategi serta amalan yang berasaskan prestasi. Penggunaan KPI dan sasaran prestasi boleh digunakan dalam setiap aspek pengurusan sekolah di mana prestasi boleh diukur dari segi proses yang disampaikan dan output yang dihasilkan di sekolah. Sasaran prestasi perlu mengambil kira perkara-perkara seperti keupayaan proses yang meliputi aliran kerja, keperluan sumber manusia, kewangan, peralatan, infrastruktur yang sesuai serta kepuasan dan kehendak pelanggan.

11. Saya yakin sistem pengukuran KPI sebagai kayu pengukur kepada kecemerlangan perkhidmatan pendidikan akan dapat meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan untuk rakyat Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan kualiti sistem pendidikan negara kekal dan bertaraf dunia.

12. Akhir kata, sempena dengan sambutan Hari Guru tahun ini, saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di Malaysia dan berharap tahun 2010 ini akan membawa kecemerlangan kepada institusi pendidikan negara dengan melahirkan modal insan yang harmonis dan seimbang yang akan menjadi tonggak kekuatan negara bangsa.

TERIMA KASIH CIKGU! …“SELAMAT HARI GURU”.