Jangan Ada Benci Di Hati
Justeru hapuskanlah segala perasaan benci daripada kita agar kita mudah menjalin hubungan dengan orang lain.
Kaedah Mengikis Benci
Cara yang terbaik untuk mengikis benci ialah dengan memaafkan semua orang sebelum tidur malam. Jika setiap malam sebelum tidur kita sentiasa mencuci muka, memberus gigi, membersihkan diri dan mengibas tempat tidur, tidak bolehkah kita mencuci hati kita dengan memaafkan semua orang sebelum tidur? Pengalaman secara peribadi penulis menunjukkan bahawa dengan memaafkan semua orang sebelum tidur, kita akan dapat membersihkan hati serta menenangkan fikiran dan mudah menjalin hubungan baik dengan orang lain.
Faktor-faktor Yang Boleh Merangsang Kehebatan Dalam Pergaulan
Antara faktor yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain dan orang lain mudah tertarik kepada kita ialah:
1) Jaga solat dan lakukan ibadah-ibadah khusus dan umum yang lain.
2) Sentiasa bersangka baik terhadap semua orang (walaupun kita perlu berwaspada setiap masa).
3) Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling kita.
4) Banyakkan bersedekah, sama ada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga, masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang berterusan.
5) Sentiasa memperbanyakkan sabar. Nabi s.a.w. pernah berpesan supaya mencari 144 sebab sebelum kita memarahi orang.
6) Sentiasa ceria apabila berjumpa dengan orang lain. Pastikan setiap orang seronok berinteraksi dengan kita.
7) Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang -menyayangi antara satu dengan yang lain.
8) Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yang kurang sopan akan menyebabkan orang lain rasa mual terhadap kita.
9) Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insyaAllah orang lain akan tertarik kepada kita.
10) Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain, terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke pangkal jalan apabila mengingati mati.
11) Sentiasa syukur dan redha atas pemberian Allah swt.
12) Sentiasa memberi salam dan ucap selamat kepada orang lain. Pemberian salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia.
13) Pamerkan simpati kepada setiap individu-individu yang memerlukan simpati dan perhatian.
14) Jadilah pendengar dan kawan yang setia.
15) Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan kelemahan atau keburukan orang lain.
16) Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan iringi perpisahan dengan doa.
Terlebih Dahulu Baiki Diri
Untuk menarik perhatian orang lain terhadap diri kita, kita perlu terlebih dahulu menyayangi dan memperbaiki diri kita. Orang yang mengasihi dirinya tidak akan melakukan sebarang kegiatan yang boleh mensabotaj dan merosakkan dirinya. Setiap tindak-tanduknya akan dilakukan secara berhikmah dan sentiasa memikirkan perasaan orang lain. Ingatlah pesanan seorang sarjana:
"Orang tidak kisah setakat mana yang anda tahu (berilmu), sehinggalah mereka tahu yang anda kisah terhadap mereka"
|
0
comments
|
Thursday, April 29, 2010
Alam remaja merupakan suatu proses perkembangan yang dilalui oleh setiap manusia. Proses ini membawa kepada perubahan yang perkembangan fizikal, mental dan juga sosial diri seseorang.
Oleh sebab itu ibu bapa seharusnya memberikan perhatian dan bimbingan yang lebih optimum kepada anak remaja.
Remaja dan permasalahan sememangnya sukar dipisahkan. Hal ini menjadi bertambah rumit bagi sesetengah ibu bapa kerana sukar untuk memahami dan berkomunikasi dengan anak remaja mereka.
Menurut pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Saedah A. Ghani, kebanyakan ibu bapa merasakan mereka sudah menjalankan tanggungjawab dan memberikan perhatian yang sewajarnya tetapi bagi remaja itu masih belum cukup.
''Komunikasi membawa maksud suatu proses penyampaian fikiran dan perasaan melalui bahasa, mendengar, bicara gerak tubuh dan ungkapan emosi.
''Melalui komunikasi antara ibu bapa dengan anak remaja dapat melahirkan hubungan seimbang dan harmoni serta membentuk suasana keterbukaan dan saling mendengar antara satu sama lain," ujarnya.
Jelasnya, berkomunikasi dengan sesiapa pun termasuk dengan anak sendiri memerlukan teknik dan cara yang betul.
''Hal ini penting agar nasihat dan pesanan yang akan kita sampaikan dapat diterima dengan baik oleh anak,'' tegasnya.
Oleh hal yang demikian, ada beberapa kaedah yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa apabila berkomunikasi dengan anak remaja.
''Sebagai ibu bapa mereka perlu membina suatu hubungan yang rapat dengan anak remaja supaya apabila berkomunikasi nanti mereka dapat menerima dan memahami maksud yang ingin disampaikan," katanya.
Namun tegas Dr. Saedah, kebanyakan ibu bapa sering merasakan diri mereka lebih tahu segalanya sehingga menyebabkan hak sebagai anak dipertikaikan.
''Seharusnya, sebagai ibu bapa mereka bertindak menjadi pendengar yang setia supaya anak remaja dapat meluahkan masalah dengan selesa,'' katanya.
Malah katanya lagi, tidak salah jika ibu bapa menerima dan memahami perasaan remaja bila mereka menghadapi sesuatu situasi sama ada sedih, gembira, marah, sakit hati dan sebagainya.
Menurutnya, kemahiran berkomunikasi amat penting ketika berhadapan dengan anak remaja kerana pada peringkat umur ini mereka selalunya lebih agresif dan mempunyai pendapat sendiri.
''Sewajarnya ibu bapa perlu mengenal diri sendiri dan mampu memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada pada mereka ketika berkomunikasi dengan anak remaja,'' ujar Dr. Saedah yang menjelaskan kaedah diplomasi banyak membantu mendidik anak-anak dalam berkomunikasi.
Komunikasi
Dalam pada itu, ibu bapa juga harus mengenali diri anak remaja. Jika diperhatikan dengan mendalam remaja lazimnya mempunyai konsep diri yang unik dan ini penting bagi ibu bapa untuk memahami dan memiliki pengetahuan tentang sikap, emosi dan perubahan serta gaya hidup remaja.
Masalah dalam berkomunikasi ini sebenarnya disebabkan ibu bapa kurang memahami perasaan anak.
Oleh itu, ibu bapa perlu meningkatkan kemampuannya dan mencuba memahami perasaan anak sebagai lawan dan kawan berbicara.
Perasaan memainkan peranan yang sangat penting dalam berkomunikasi, kerana jika seseorang mengalami perasaan gembira, ini akan memudahkan mereka untuk berkomunikasi atau menyampaikan pendapat atau meluahkan perasaan yang terbuku di hati.
Hal sebaliknya akan berlaku jika mereka berasa marah sedih atau kecewa.
''Pada dasarnya keperluan manusia yang paling penting adalah keinginan agar perasaannya difahami, didengari, dihargai dan dirinya dapat diterima,'' katanya.
- UTUSAN
|
0
comments
|
Baru-baru ini Anita memperoleh keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang membanggakan dan bercadang menyambung persekolahan menengah di sekolah berasrama penuh (SBP).
Namun apabila kerajaan mengumumkan hanya akan mengambil hanya 6,090 orang sahaja daripada 93,000 pelajar yang memohon untuk ke asrama penuh, Anita menjadi berbelah bahagi.
Tambahan pula terdapat saudara terdekatnya yang pulang semula ke sekolah harian biasa kerana tidak sesuai dengan persekitaran dan suasana di asrama penuh. Dia menjadi keliru dan serba salah antara keinginan dan cabaran yang akan ditempuhi.
Kelebihan Sekolah Berasrama Penuh
Kita semua pasti teruja dengan berita bahawa 93,000 pelajar memohon masuk ke SBP sedangkan tempat yang tersedia hanya untuk 6,090 orang sahaja. Bilangan itu meliputi 42,029 pelajar calon UPSR yang meraih semua A dalam mata pelajaran yang diambil.
Sebanyak 12,320 calon pula adalah daripada semua yang meraih A datangnya dari luar bandar. Adik Anita mungkin adalah salah seorang daripada mereka yang memohon itu dan mungkin yang bertuah untuk mendapat tempat di salah satu daripada 48 SBP dan SBP Agama atau di lebih 41 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara.
Sekolah berasrama penuh dibangunkan untuk melahirkan pelajar yang cemerlang daripada segi akademik, jasmani dan rohani. Selain itu, ia juga bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berketerampilan, proaktif serta mempunyai disiplin yang tinggi.
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd. Dom pernah berkata, antara tujuan utama kerajaan membina SBP adalah memberi peluang kepada pelajar cemerlang dari luar bandar merasai suasana pembelajaran lebih selesa. Jelas beliau lagi, ia juga lebih terarah terhadap usaha kerajaan menyediakan pendidikan terbaik kepada pelajar cemerlang daripada kalangan keluarga kurang berkemampuan termasuk anak masyarakat Orang Asli.
Banyak kelebihan yang boleh dinikmati bukan sahaja untuk para remaja itu sendiri. Kepada ibu bapa, ia pasti dapat membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan dan juga mereka yang tinggal di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan asas yang lengkap.
Guru-guru dan kualiti pembelajaran yang baik dapat membantu pelajar-pelajar ini dalam mencapai cita-cita mereka. Jadual seharian yang ditetapkan oleh pihak sekolah dapat membantu mendisiplinkan pelajar dalam aktiviti seharian mereka. Selain itu ia juga dapat melahirkan pelajar yang berdikari dan mempunyai asas kendiri yang teguh.
Biarpun banyak kelebihan yang diperoleh daripada sekolah asrama penuh, beberapa faktor perlu dikaji sebelum ibu bapa atau pelajar itu membuat keputusan untuk ke sekolah berasrama penuh.
Ke Asrama Atau Tidak?
Para ibu bapa dan anak mereka seharusnya berbincang untuk meneliti kemungkinan dan membuat keputusan dalam hal ini. Ini untuk mengelakkan daripada terjadinya ketidaksediaan remaja untuk ke sekolah asrama penuh.
Apabila ini terjadi, psikologi anak-anak yang masih muda ini akan terganggu. Lebih parah lagi sekiranya ia menjejaskan prestasi pembelajaran mereka. Dalam hal ini, mungkin ibu bapa boleh mempertimbangkan sama ada menghantar anak mereka ke sekolah berasrama semasa Tingkatan 1 atau Tingkatan 4.
Terdapat ibu bapa yang berpendapat bahawa umur 12-13 tahun adalah terlalu muda untuk ke sekolah berasrama kerana mereka belum matang dalam membuat keputusan dan untuk menyesuaikan diri dengan cabaran di persekitaran baru.
Menghantar anak-anak ke asrama seharusnya diiringi dengan kesediaan ibu bapa dan remaja itu sendiri. Ibu bapa harus meneliti akan watak dan keterampilan anak mereka dan juga sekolah terbabit. Kebanyakan ibu bapa pasti mempunyai hujah yang kuat untuk menghantar anak mereka ke asrama, iaitu untuk mendapatkan pendidikan terbaik dan juga sebagai langkah untuk menerapkan disiplin dalam diri anak mereka supaya cara hidup lebih teratur.
Namun di sebalik itu, ia bergantung kepada anak itu sendiri yang akan menentukan kaedah pembelajaran dan budaya seharian. Apa gunanya di sekolah berdisiplin tetapi apabila berada di rumah, mereka tidak dapat mengikuti disiplin tersebut? Disiplin di sekolah mungkin berbentuk luaran, iaitu menjalankan peraturan melalui penguatkuasaan dan disokong dengan penalti atau hukuman sekiranya tidak dipatuhi.
Dalam konteks ini, ia berbalik kepada pendidikan asas dan nilai-nilai diri yang diterima di rumah, iaitu pendidikan oleh ibu bapa dan keluarga. Ibu bapa harus menyiapkan anak mereka dan membimbing anak-anak mereka untuk hidup berdikari hatta anak mereka tidak dihantar ke sekolah asrama penuh sekali pun. Nilai-nilai murni dan pendidikan agama harus sentiasa diterapkan dalam jiwa remaja. Ini supaya remaja mempunyai pertimbangan dalam menghadapi permasalahan semasa terutama sekali apabila mereka berada di dalam lingkungan rakan-rakan sebaya.
Selain itu. apabila ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah berasrama, ibu bapa haruslah memahami keperluan psikologi anak-anak yang berpisah daripada ibu bapa, keluarga dan keselesaan yang ada tatkala berada di rumah. Anak-anak harus diziarah dan dipantau supaya mereka tidak berasa keseorangan dan mendapat sokongan keluarga.
Pengalaman penulis sendiri apabila berada di sekolah berasrama, sokongan dan doa ibu bapa adalah sangat penting dalam menguatkan semangat untuk terus belajar dan menghadapi kehidupan di asrama. Namun amat menyedihkan apabila ada di kalangan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama semata-mata bagi melepaskan beban kepada pihak sekolah untuk menjaga anak mereka.
Lebih malang lagi sekiranya perbelanjaan anak-anak tidak dijaga atau dikawal. Ibu bapa bukan sahaja berkewajipan untuk menghantar belanja kepada anak-anak mereka, tetapi juga harus menasihatkan anak-anak dalam menguruskan wang yang diterima. Hal ini amat berguna apabila mereka sudah dewasa kelak. Ibu bapa juga harus bekerjasama dengan pihak sekolah dalam apa-apa program yang dijalankan dan tidak begitu ‘memanjakan’ anak-anak mereka dengan menyerahkan segala urusan hanya kepada guru dan warden sahaja.
Di pihak diri remaja pula, seharusnya ada persediaan untuk menghadapi kehidupan baru di sekolah berasrama penuh. Jadual di sekolah tidak sama jika dibandingkan apabila berada di rumah. Peraturan perlu diikuti, masa harus dipatuhi dan perhubungan baik sesama rakan dan guru harus dipelihara.
Remaja perlu menunaikan tanggungjawab dalam menguruskan masa, disiplin belajar, kewangan, dan juga tidak lupa untuk berusaha membentuk keperibadian diri yang utuh. Menyesuaikan diri di tempat baru dan mencari rakan yang baik adalah penting dalam membantu ke arah kecemerlangan diri dan sahsiah.
Remaja dan ibu bapa harus sentiasa berbincang atas permasalahan yang timbul. Perhubungan antara remaja dan keluarga tidak seharusnya menjadi renggang dan kekok. Adalah amat penting bagi remaja untuk selalu berpegang kepada nilai-nilai murni dan tidak membelakangkan nilai-nilai agama dalam menjalani kehidupan seharian.
Pengaruh rakan-rakan harus dipertimbangkan dengan baik supaya tidak terjebak dengan anasir-anasir yang boleh mendatangkan keburukan pada diri mereka dan juga keluarga. Sentiasalah memohon kepada Allah agar diberikan petunjuk dalam menghadapi sebarang cabaran yang mendatang.
Selain itu, kerjasama yang baik antara rakan-rakan dan guru-guru adalah amat penting dalam membantu menyesuaikan diri dan juga untuk mencapai matlamat untuk berjaya dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah diri.
Kesimpulan
Sekolah berasrama penuh mendatangkan banyak kebaikan bukan sahaja dalam melahirkan pelajar yang mempunyai akademik yang cemerlang, tetapi juga untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan, berakhlak mulia dan bersedia mendepani cabaran mendatang.
Golongan ini diharap mampu menjadi pemimpin di masa hadapan dan menjadi contoh yang baik untuk diikuti. Namun begitu, jika tidak terpilih, ibu bapa dan remaja tidak seharusnya berasa kecewa dan berasa rendah diri dengan rakan-rakan yang berjaya ke sekolah asrama penuh. Usaha mempertingkatkan diri harus sentiasa berjalan walau di mana sekalipun kita berada.
Kerajaan juga sedang berusaha untuk memperkasakan sekolah harian secara holistik supaya dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang. Apatah lagi ramai pelajar yang tidak ke asrama penuh pun berjaya seperti Nur Amalina yang berjaya memperolehi 17A1 dalam peperiksaan SPM beliau sungguhpun bersekolah di sekolah harian biasa.
Apa yang penting adalah kesungguhan pelajar untuk berjaya dan pada masa sama ibu bapa mereka perlu memberi sokongan penuh kepada anak-anak mereka.
Artikel ini ditulis oleh Nurul Izzah Sidek.
|
0
comments
|
SOALAN
Saya adalah pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya bersyukur dan bertuah kerana dipilih meneruskan pelajaran di sini.
Selepas masuk bulan ketiga (Mac lalu), emosi saya menjadi tidak stabil dan kerap menyendiri dan selalu teringatkan rumah.
Saya menjadi terlalu rindu, sunyi, sayu, sedih dan ka dangkala menangis. Mungkin ini merupakan kejutan budaya belajar di sini, tetapi saya sangat sayangkan sekolah ini dan rakan-rakan.
Keluarga sering memberi perangsang dan sanggup ber ulang-alik menjengok saya setiap hujung minggu, tetapi keadaan saya masih tidak berubah dan amat sukar berpisah bila bertemu.
Apa patut saya lakukan agar memudahkan saya menerima hakikat belajar di asrama berbeza berbanding belajar di rumah. Saya selesa di asrama, tetapi pada masa sama, saya rindukan suasana di rumah.
Harap Dr dapat membantu memberi panduan atau kursus yang boleh diikuti sempena cuti penggal akan datang.
Apa patut saya lakukan ketika dua minggu sekolah nanti dan saya amat takut jika tidak tidak bersedia berpisah dengan keluarga kelak apabila bercuti panjang.
JAWAPAN
Adik nampaknya seorang pelajar yang sudah tahu betapa pentingnya pelajaran dalam kehidupan adik. Adik juga mempunyai ibu bapa yang menyayangi adik di mana setiap minggu akan menjenguk adik.
Pengorbanan perlu dilakukan dalam usaha meniti kejayaan. Sebab itu adik tinggal di asrama agar proses pembelajaran berlaku dengan baik.
Perpisahan secara fizikal dan emosi dengan keluarga yang disayangi memang bukan sesuatu yang mudah.
Adik pula masih berusia 13 tahun. Perkara ini selalu berlaku kepada pelajar yang memasuki asrama yang terpaksa berpisah dengan keluarga mereka.
Apatah lagi, jika hubungan yang terjalin antara adik dengan ibu bapa sebelum adik ke asrama adalah rapat.
Perapatan ini menyebabkan perpisahan emosi dan fizikal (ketika adik di asrama) menekan emosi adik.
Penting bagi ibu bapa memastikan bahawa perapatan yang dibina dengan adik tidak dipisahkan dengan serta-merta. Jalinan emosi masih tetapi wujud, cuma dipisahkan dengan jarak tempat.
Bagaimanapun, adik masih boleh berjumpa dengan keluarga adik di hujung minggu apabila mereka melawat adik dan boleh menelefon mereka bila adik merasa rindu.
Selalunya di peringkat awal perpisahan adalah waktu yang sukar. Sebelum ini adik banyak bergantung kepada ibu bapa dalam urusan kehidupan seharian adik seperti melakukan kerja rumah, kini adik kena belajar berdikari dan keadaan di asrama tentu berbeza dengan keadaan di rumah.
Perubahan berlaku dalam kehidupan adik sama ada dari segi keselesaan atau tangungjawab yang perlu adik pikul. Itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.
Perubahan ini jika berjaya dilalui membolehkan adik men jadi lebih matang dan belajar menjadi individu yang berdaya tahan.
Jika adik dapat melalui saat-saat sukar ini dengan baik, adik dapat mengawal emosi yang stabil. Jika emosi stabil, tentu adik boleh tumpukan perhatian kepada pelajaran.
Untuk mengurangkan rasa rindu kepada keluarga, adik perlu sesuaikan diri dengan rakan di asrama melalui be kerjasama dan mudah akrab dengan mereka.
Aktif menyertai kokurikulum boleh membantu mengalih perasaan kesunyian itu. Adik juga boleh berjumpa dengan guru kaunselor jika masih tertekan.
|
0
comments
|
Kehidupan Belajar di Sekolah Berasrama
Sebuah perkongsian oleh:
Wan Fathiyyah Wan Ibrahim
2nd Year Medical Student
Kasr el
Cairo University
Fikiran saya masih terikat dengan Al-Amin waktu itu. Sebab saya telah dibesarkan selama 6 tahun di
Sejurus keluar sahaja keputusan UPSR yang sangat membanggakan,ayah berkeputusan untuk tidak menyambungkan saya ke Al-Amin seperti abang-abang saya sebelum ini. Ayah mahu menghantar saya ke sekolah berasrama. Mahu saya berdikari katanya. Ok,masa itu saya boleh terima lagi keputusan ayah.Tapi bila saja ayah kata mahu hantar saya ke sekolah berasrama di Kelantan,jiwa saya seperti memberontak. Untuk apa ayah mahu menghantar saya bersekolah jauh-jauh. Jarak antara Gombak dan Kota Bharu bukanlah dekat. Saya bermonolog dengan diri sendiri. Tiada siapa tahu apa yang saya rasa waktu itu. Walaupun saya masih punya datuk,nenek dan saudara-mara belah ayah di
Emak memujuk saya berulang kali. Kata emak,ini semua untuk kebaikan saya juga di masa hadapan. Dengan pemikiran saya pada waktu itu hanya berumur 13 tahun,saya menuruti keputusan ayah. Mungkin ada hikmah. Boleh jadi benda yang saya tidak suka itulah yang terbaik buat saya.
Saya dimasukkan ke SMKA Naim Lilbanat. Kata ayah,sekolah itu tersohor di Kelantan. Mahu masuk ke sekolah itu bukanlah senang. Beberapa buah kriteria perlu dituruti untuk menjaga kualiti sekolah tersebut. Pertama,seseorang peajar perlu mencapai 5A dalam UPSR.
Kedua,dia juga perlu melepasi ujian kelayakan untuk masuk ke sekolah SMKA yang dipantau oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan. Jika bagus pencapaiannya dalam ujian tersebut,maka seseorang itu akan dihantar ke sekolah yang bagus-bagus juga. Ujian kelayakan tersebut berupa ujian penilaian pengetahuan dan Kemahiran dalam Bahasa Arab,Tajwid,pengetahuan asas dalam bidang Agama dan sebagainya.
Walaupun hati kecil kata ‘tidak mahu’ untuk bersekolah di Kelantan,tapi saya telah menduduki ujian kelayakan tersebut dengan sangat jayanya.Dengan memperoleh peratus keseluruhan 90%,saya telah dipilih untuk menjadi salah seorang pelajar SMKA Naim Lilbanat.
Saya punya pengalaman yang sangat berharga sepanjang bersekolah di SMKA Naim Lilbanat ini.
Pertamanya ialah pengalaman bersekolah kerajaan(Al-Amin ada salah sebuah sekolah swasta). Sistem sekolah kerajaan dan sekolah swasta sangat berbeza. Sekolah Kerajaan banyak terikat dengan kurikulum yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran dan juga pihak Jabatan Pendidikan Negeri. Sekolah swasta juga turut mengikut kurikulum pihak kementerian yang berlainannya ialah pendidikan tambahan seperti subjek Hafazan dan Tilawah serta aktiviti ko-kurikulum nya yang agak unik dan berbeza berbanding sekolah-sekolah lain. Jadi,saya perlu membiasakan diri untuk menurut ‘arus’ bersekolah kerajaan. Benar,masing-masing punya kelebihan.
Naim Lilbanat sangat jauh dari rumah. Mahu tak mahu kena tinggal dan bertahan juga di situ. Keluar air mata darah sekalipun,saya tahu saya tak mungkin dapat mengubah keputusan ayah. Jadi saya fikir saya yang perlu mengubah diri sendiri. Belajar mematangkan diri,hadapi semua dengan sabar dan cekal serta berjanji dengan diri sendiri untuk mencapai keputusan PMR yang terbaik pula agar nanti boleh la saya jadikan ia sebagai alasan untuk memujuk ayah agar menukarkan saya untuk kembali bersekolah di sekitar Selangor/KL sahaja.
Tahun pertama di Naim merupakan tahun yang sangat mencabar buat saya. Namun,ia juga merupakan titik permulaan saya di Naim. Pengalaman bangun awal pagi untuk berebut bilik mandi,beratur untuk ambil giliran basuh baju,beratur untuk ambil ‘tray’ di dewan makan,hadapi kelas prep petang dan malam dan pengalaman menghadiri ‘Roll Call’ setiap kali pulang semula ke asrama dari kampung. Pada mulanya,memang penat menghadapi itu semua.Iya la,kita duduk rumah takkan adanya nak beratur berebutkan bilik air,beratur ambil makanan di dapur pun mustahil la. Tambahan lagi,kita makan nasi dalam pinggan di rumah.Bukan dalam ‘tray ‘ seperti di asrama.
Kepenatan saya duduk asrama jelas kelihatan bila setiap kali balik kampung,masa saya banyak dihabiskan dengan tidur sahaja. Mujur semua orang faham.Tapi itu semua waktu tahun pertama sahaja. Tahun kedua dan ketiga tidak begitu sebab sudah biasa. Jadi badan mula dapat menerima rutin seharian begitu.
Di antara program wajib untuk pelajar yang tinggal di asrama ialah gotong-royong asrama setiap minggu. Setiap dorm akan ditugaskan untuk membersihkan kawasan-kawasan yang telah ditetapkan oleh AJK asrama. Dalam tempoh dua jam,keadaan asrama akan dipastikan bersih,kemas dan kondusif untuk keselesaan para pelajar asrama juga.
Naim ini merupakan sekolah untuk pelajar-pelajar perempuan sahaja. Maka kelebihan di situ ialah,kurang juga masalah sosial kerana tiada lelaki. Mahu menjalankan perbincangan dalam pelajaran pun mudah. Masalah displin juga tidak begitu besar .Kes-kes sampai kena buang sekolah pun jarang didengari.Kes ‘couple’ sudah tentu tidak ada.
Tapi mungkin ada kes sebegini jika di luar waktu sekolah/outing/pulang ke kampung. Entah,saya pun kurang arif tentang ini. Dalam kelas pun mudah,kami bebas bertanyakan topik mana yang tidak dapat difahami kepada cikgu tanpa rasa malu-malu sebab semuanya rakan-rakan perempuan.Nak buat bising pun boleh,tak perlu segan tapi tetap ada batasannya juga lebih-lebih lagi jika ada guru dan sebagainya.
Tahun pertama juga,saya mengalami masalah dari segi bahasa. Kita ni orang KL. Jadi masih kurang berbahasa ‘Kelate’ dengan begitu fasih lagi. Pengalaman digelakkan kawan-kawan sekelas sebab pelat Kelantan saya agak kurang menjadi itu sudah menjadi perkara biasa. Maka,saya jadi seorang yang agak pendiam pada tahun pertama. Kita jadi ‘budak baik’ sikit. Tapi malam-malam sebelum tidur,agak selalu juga la saya berlatih bercakap ‘Kelate’ seorang-seorang dalam dorm. Semuanya gara-gara saya tidak mahu digelakkan lagi dan nanti senang la mahu bercampur dengan semua orang.
Naik tahun dua,masalah bahasa bukan lagi satu masalah dalam hidup saya waktu tu.Saya sudah menguasai sepenuhnya kemahiran berbahasa ini. Malah,mereka yang tidak tahu saya berasal dari mana sudah pasti mereka percaya habis yang saya ini anak Kelantan.Sebab pelat Kelantan saya sangat mantap. Mereka kata,lidah saya sudah jadi seperti lidah anak jati Kelantan.Tidak sia-sia saya menjadi budak ‘pendiam’ dan berlatih bercakap seorang-seorang waktu tahun pertama.Ia memang mendatangkan hasil yang memuaskan hati saya sewaktu masuk sahaja tingkatan dua.
Bermula pada tahun kedua la saya mula bergaul dengan ramai orang. Baik adik-adik ‘junior’ mahupun kakak-kakak ‘seniors’. Bermula tingkatan dua juga,saya mula aktif dengan aktiviti-aktiviti luar kelas seperti sukan Bola Jaring dan Kawad Kaki. Sibuk tak usah cakap. Jika tidak dapat mengurus masa dengan bijak,pasti boleh tersungkur dalam akademik dengan mudah.
Sering sahaja perasaan cemburu menyelubungi diri bila lihat kawan-kawan ke kelas prep petang,menyiapkan kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran.Tidak seperti saya yang bila waktu kelas prep petang saja,wajib turut
Waktu prep malam pula digunakan sungguh-sungguh untuk ‘cover study’.Buat kerja sekolah,siapkan projek Kemahiran Hidup,buku skrap,laporan sejarah,projek Geografi dan bermacam-macam lagi. Saya sering juga ‘mencuri’ waktu untuk menyudahkan tugasan peribadi lain seperti membasuh baju,kemas bilik,gosok baju dan sebagainya. Itulah rutin seharian saya di Naim. Jarang nampak saya bersenang-lenang. Amat susah untuk lihat saya punya waktu lapang,lepak-lepak dan borak-borak kosong. Sebab saya memang tidak punya masa rehat yang betul-betul.
Masa waktu sekolah,ditumpukan sepenuhnya perhatian dalam kelas,waktu prep malam focus untuk kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran. Tidur? Saya sudah biasa tidur lewat sejak dahulu lagi. Pernah juga kadang-kadang tidak tidur malam gara-gara mahu baca buku sebab keesokan harinya ada ‘exam’ Sains. Mujur soalannya mudah-mudah sahaja dan markah Sains juga memberansangkan pada waktu.
Saya bukan tidak boleh untuk memilih menjadi seorang pelajar yang duduk diam belajar dalam kelas,tidak sertai program luar kelas dan sebagainya. Tapi saya merasakan waktu muda ini sahaja saya boleh timba pengalaman menjadi sibuk dan mengukuhkan sifat-sifat yang ada dalam diri sendiri. Saya mahu genggam betul-betul peluang yang saya ada dan manfaatkan ia dengan sepenuhnya. Dan saya tahu,saya akan peroleh sesuatu dengan sertai aktiviti-aktiviti semua itu.
Jadi saya tidak pernah berasa kesal. Rasa cemburu pada kawan-kawan itu saya buang jauh-jauh sebab saya yakin,saya boleh tersenyum dengan melihat pencapaian saya dan kejayaan saya di atas pengorbanan ini nanti. Saya berjanji pada diri sendiri yang sesibuk mana pun saya,pelajaran dan akademik tidak wajar diketepikan.Saya mahu membuktikan pada mereka bahawa seorang pelajar yang tinggal di asrama,sibuk dengan ko-kurikulum boleh cemerlang seperti pelajar yang berulang-alik ke sekolah, tidak aktif dengan aktiviti luar dan mereka yang ambil kelas Tuisyen di luar(pada zaman saya dahulu,pelajar asrama tidak dibenarkan mengambil kelas tuisyen di luar).
Hasilnya,saya berjaya. Dalam bidang akademik,Alhamdulillah saya berjaya mencapai keputusan 9A dalam PMR. Dalam bidang ko-kurikulum pula,saya dan rakan-rakan sepasukan kawad kaki KRS SMKA Naim Lilbanat berjaya menjadi Johan Pertandingan Kawad Kaki KRS peringkat negeri Kelantan dan kami mewakili negeri Kelantan dalam pertandingan yang sama di peringkat kebangsaan buat dua tahun berturut-turut.
Sudah tentu yang membezakan SMKA dengan sekolah biasa adalah dari segi pengisian Rohaninya. Buat pelajar yang tinggal di asrama,pada setiap petang,sebelum masuknya waktu maghrib,kami diwajibkan untuk turun ke masjid baca mathurat bersama-sama dan seterusnya mengerjakan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah.
Bila saya naik tingkatan tiga di Naim,pihak sekolah menyarankan agar aktiviti solat subuh secara berjemaah dilaksanakan.Alhamdulillah,saranan tersebut diterima baik oleh semua pelajar asrama walaupun pada mulanya semua agak terlambat untuk ke masjid sebab belum biasa.
Setiap malam Jumaat dan Sabtu pula,pihak ajk Masjid akan menjemput ustaz-ustazah kami untuk menyampaikan pengisian buat kami. Aktiviti usrah juga sudah menjadi kelaziman buat kami pada setiap minggu.Kami akan dikumpulkan menurut kumpulan masing-masing yang telah ditetapkan,duduk dengan kakak yang telah ditugaskan untuk menjaga kami,sama-sama berkongsi pendapat,tadabbur Al-Qur’an,bincang isu semasa dan sebagainya.
Perkara lain yang membezakan SMKA dengan sekolah biasa lain ialah subjek Bahasa Arab yang menjadi subjek wajib diambil untuk peperiksaan besar seperti PMR dan SPM.
Saya bersyukur kerana saya bersekolah di SMKA. Kerana saya suka berada dalam tarbiyah yang sentiasa terjaga. Bukan bermakna saya ni suka berada dalam ‘Zon yang Selesa’ tapi saya tetap merasakan bahawa jiwa saya hanya boleh menerima dalam persekitaran sebegitu sahaja.Jika tidak,jiwa saya mungkin akan memberontak,saya pasti akan berubah menjadi diri saya yang lain. Biarlah subjek akademik yang diambil banyak di SMKA ni.Asalkan ilmu di dada juga bertambah dan boleh diamalkan dalam kehidupan.Biarlah rasa terbeban sedikit dari segi jumlah subjek yang mahu diulangkaji,asalkan ia kekal dalam sanubari ini.
Dengan keputusan PMR,saya berjaya ‘pulang’ ke rumah,bersekolah di KISAS yang merupakan salah sebuah sekoah berasrama penuh di
Bermacam-macam pengalaman yang telah dihadiahkan buat diri saya.Pengalaman dan kenangan tiga tahun bersekolah di Naim yang memegang amanah sebagai salah sebuah sekolah SMKA,pengalaman tinggal di asrama,pengalaman berjauhan dengan keluaga, pengalaman menyertai aktiviti luar sekolah,pengalaman menjadi seorang yang sibuk dan lain-lain lagi telah dipahatkan betul-betul dalam memori ini.
Sesungguhnya,semua itu banyak mengajar saya,membina dan mendidik sehingga lahirlah saya yang sekarang.Dalam adik-beradik saya,saya dikira sebagai seorang yang matang dan mampu berdikari alam usia yang muda. Jadi ayah dan emak tidak perlu bimbang lagi dengan anak mereka yang seorang ini. Emak tidak perlu bimbangkan saya yang selalu ditinggalkan keseorangan di rumah pada waktu saya cuti,tidak perlu risau tentang makan minum saya. Sebab saya sudah biasa untuk mencari jalan ‘menyelamatkan diri’.
Tidak sia-sia pengorbanan mereka menghantar saya bersekolah jauh-jauh .Saya sudah pasti tidak akan menghampakan mereka begitu sahaja.Saya mahu menjadi yang terbaik.Jika bukan terbaik pada pandangan orang lain,biarlah saya menjadi terbaik pada pandangan ayah dan emak saya.
Dan sekarang,saya boleh tersenyum dengan lebar.Mengenangkan diri saya yang degil dan suka memberontak dahulu dan membandingkan dengan saya yang sekarang yang sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri.Dari hari ke hari,saya masih mempertingkatkan diri sendiri.Saya juga manusia,dan manusia itu tidak pernah sempurna. Jika saya telah memulakan kehidupan saya dengan agak baik,dan saya juga mahu mengakhirkan hidup saya ini dengan baik juga.
Lihat,mungkin inilah hikmahnya. Inilah perancangan Allah buat saya. Seseungguhnya hanya Dia perancang yang terbaik.Dia jua yang Maha Mengetahui untuk hamba-hambaNya.
Maha Suci Allah
Setinggi-tinggi pujian hanya layak untuk Allah
Allah Maha Besar
|
0
comments
|
Berfikir dan Bertindak Ke Arah Kecemerlangan
Berikut dicadangkan kepada semua guru dan anak-anak pelajar SAKTI cara-cara dan tindakan untuk mencapai kecemerlang
Bersikap positif
- Buangkan sikap negatif
malaslah, lecehlah, mengantuklah, streslah
releks/selesa
- Sedia berubah ke arah lebih berdaya maju – ‘do something different. no change no progress’.
Air
Nak menjadi juara kena nampak (melalui imaginasi) apa yang orang lain tidak nampak
- Orang bijak menunjuk pandai bukan menunjuk karenah.
- Ular tidak akan membesar dan berbisa jika tidak bersalin kulit
Akhlak yang cemerlang
- Akhlak yang baik dan cemerlang mestilah dibaluti dengan kesantunan
- Yang tua dihormati yang muda disayangi
- Bersikap tawaduk dan ikhlas
- Seorang ketua diketuakan. ‘Adanya serupa adanya’ bukan ‘adanya serupa tiadanya’.
Persepsi pelajar terhadap belajar . Adakah dianggap
- Belajar sebagai hanya satu tugas?
- Belajar sebagai hanya sebagai satu aktiviti?
- Belajar sebagai hanya sebagai satu tanggungjawab? atau
- Belajar sebagai amanah? atau
- Belajar sebagai satu ibadah yang perlu dilakukan dengan penuh khusuk dan tawaduk. Fikir-fikirkan.
Pengiktirafan terhadap rakan guru dan anak pelajar. Dalam hidup bermasyarakat di SAKTI sewajarnya kita sentiasa bertindak memberi pengiktirafan terhadap rakan guru dan anak pelajar dengan:
- memenangi hati dan perasaan
- dekat di mata dekat di hati
- lekat di mata lekat di hati bukan sebaliknya.
One Step Ahead. Dalam apa jua tindak laku kenalah seperti pantun lama
Renda elok berkajang kain
Bunga telipuk ambar kasturi
Kerja esok siap kelmarin
Itu petunjuk kualiti diri
Hendak kecapi kejayaan? Amalkan
- Budaya kerja baru
- Berorientasikan hasil bukan beri alasan atau menyalahkan orang lain
- Hasil – result yang positif, good result yang tunjuk peningkatan
- Berorientasikan kereativiti dan inovasi
- Focus and achieve your target
- Gunakan kekuatan yang ada untuk atasi kelemahan
- Look at the positive side
Tagline sekolah
- Pecahkan kepompong jadilah kekupu, pecahkan ruyung nikmatilah sagu
- Hendak seribu daya, mahu beribu usaha
Awas
- Hidup seperti mengupas bawang – nak dapat bawang yang baik kenalah kupas hingga menangis.
- Jauhi sindrom titanic
ada orang puas hati kerana berada di atas tapi ironisnya ada orang puas hati sedangkan mereka sentiasa berada di bawah.
the greatest enemy excellence is good (musuh ketat bagi terbaik adalah baik)
- Amat-amatilah pantun 6 kerat ini
Penakik pisau seraut
Ambil galah batang lintabung
Keduduk jadikan nyiru
Setitik jadikan laut
Sekepal jadikan gunung
Alam terrbentang jadikan guru
|
0
comments
|
Renungan buat seorang ayah
Petikan Oleh Abd Razak HussinKetika saya mencetak tugasan saya di Business Center, Hotel Grand Preanger Bandung baru-baru ini, turut tercetak ialah sekeping catatan. Saya membacanya dengan perlahan. Rupa-rupanya catatan itu adalah terjemahan doa seorang ayah terhadap anaknya. Barangkali catatan asalnya dalam bahasa Inggeris.
Pada catatan itu terakam doa Jeneral Douglas Mc Arthur. Dalam pencarian saya menerusi sumber siber, beliau ialah seorang panglima perang Amerika Syarikat (AS) yang terkemuka, terutama ketika Perang Dunia Pertama dan Kedua.
Saya tidak dapat mengesahkan sejauh mana benarnya doa terbabit yang dikatakan ditulis oleh Jeneral Mc Arthur yang meninggal dunia pada 1964 pada usia 84 tahun. Namun buat saya, doa itu sekiranya dibaca oleh semua ayah, pastinya itulah juga harapan terhadap anak mereka, termasuk diri saya sendiri.
Saya berasakan suatu keseimbangan dalam doa yang dizahirkan, lambang seorang ayah yang realistik dan tiada kerakusan terhadap apa saja yang boleh diperkenankan oleh Tuhan Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih.
Pada zaman yang penuh cabaran dan persaingan, Mc Arthur berdoa lagi, “Tuhanku, bentuklah anakku menjadi insan yang berusaha memunculkan cita-citanya dan tidak tenggelam dalam angan-angannya saja. Seorang anak yang sedar bahawa mengenal Engkau dan dirinya sendiri adalah landasan segala ilmu pengetahuan”.
Dalam rayuan ini, saya kira Mc Arthur sangat sedar bahawa mengenal Pencipta dan diri sendiri adalah asas utama yang akan menemukan kita dengan ilmu hakikat yang sememangnya berasal daripada Maha Bijaksana, Maha Besar dan Maha Agung-Nya.
Untuk memastikan anaknya memiliki daya tahan yang ampuh, tangkas dan bingkas dalam menghadapi ranjau kehidupan, Mc Arthur berdoa lagi, “Janganlah pimpin anakku di jalan yang mudah dan lunak, tetapi tuntunlah dia di jalan yang penuh hambatan dan godaan, kesulitan dan cabaran. Biarkan anakku belajar untuk tetap berdiri di tengah badai dan sentiasa belajar untuk mengasihi mereka yang tidak berdaya. Ajarilah dia berhati tulus dan bercita-cita tinggi, sanggup memimpin dirinya, sebelum mempunyai kesempatan untuk memimpin orang lain.”
Terlihat dalam ungkapan ini, beliau inginkan anaknya menjadi seorang yang tabah dan tidak mementingkan diri sendiri, seorang yang ikhlas dan berupaya memimpin diri terlebih dulu, kerana ketrampilan inilah yang paling sukar untuk dibentuk dan dimiliki.
Manusia sering kali boleh berlagak pemimpin besar di hadapan pengikut, tetapi sering kali kecundang dan kerdil kepada runtunan hawa nafsu sendiri apabila bersendirian dan berada jauh daripada lingkungan pengikutnya.
Mc Arthur sentiasa menginginkan anaknya menjadi seorang yang adil dengan memberi keseimbangan dalam dua aspek yang bertentangan seperti diungkapkannya, “Berikanlah hamba seorang anak yang mengerti makna ketawa dan gembira tanpa melupakan erti tangis dan nestapa. Seorang anak yang mencipta masa depan yang cerah, namun tidak pernah melupakan masa lampau yang suram”.
Akhir sekali Mc Arthur merayu dalam doanya, “Tuhanku, berilah ia kerendahan hati… agar ia insaf akan kesederhanaan dan keagungan yang hakiki, pada sumber kearifan, kelemahlembutan dan kekuatan yang sempurna. Wahai Tuhan, pada akhirnya, apabila semua itu Engkau kabulkan, hamba… ayahnya, dengan puas membisikkan pada-Mu, “Hidupku ini, tidaklah sia-sia”.
Daripada keseluruhan doa itu, saya percaya, siapa dan apapun watak seorang ayah, pastinya kita menginginkan seorang anak yang sempurna seperti digambarkan oleh Mc Arthur. Seorang yang mengenal diri, mengenal Tuhannya, tabah, jujur, merendah diri, cekal menghadapi cabaran dan persaingan, menjadi pemimpin yang berintegriti, mengotakan apa yang dikata, bukan ‘cakap tidak serupa bikin’, dilingkungi kehidupan yang gembira, tetapi tidak pernah melupakan kedukaan dan kesukaran hidup orang lain, selain seorang yang mengerti memberi makna kepada sejarah sebagai asas kepada pembinaan masa depan yang gemilang.
Saya juga percaya, seandainya seluruh kesempurnaan ini terbentuk kepada anak-anak kita, seperti Mc Arthur, kitalah seorang ayah yang paling bahagia dan berasakan hidup ini sesuatu yang sangat sempurna.
Namun, suatu hakikat yang pasti, tidak semua yang kita impi dan doakan, Tuhan akan memenuhinya. Banyak pembolehubah (variable) yang menentukan corak dan pola anak kita. Tuhan memerintahkan kita berusaha, berikhtiar dan berdoa. Segala-galanya adalah dugaan dan cabaran terhadap iman dan jati diri kita sendiri.
Dari satu sisi, saya percaya, catatan doa Jeneral Douglas Mc Arthur mengetuk pintu hati dan sanubari kita semua dalam hubungan kita dengan anak yang cabaran sedang mereka hadapi kadangkala lebih sangat menduga dan kejam berbanding yang pernah kita alami.
Penulis ialah Ketua Pejabat Perhubungan Awam dan korporat UKM
|
0
comments
|