Saturday, June 9, 2012 at 2:37 AM
Tuesday, March 13, 2012 at 6:59 PM

ANAKLANANG SAKTI : DI SEBALIK SBT






Sekitar kunjungan hormat sebagai tanda terima kasih ke kediaman rasmi 'Mentor'
Hj Hassan bin Topit, bekas Ayahanda Pengetua SAKTI, sempena penganugerahan SAKTI sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi Kohrot 3 2012.

Sebaik sahaja melepasi Tol Nilai menuju ke arah Selatan melalui Lebuhraya PLUS fikiran masih lagi berlegar-legar teringat akan majlis yang dihadiri di Putrajaya sebentar tadi. Secara jujur, masih lagi tidak percaya bahawa SM Sains Kota Tinggi menjadi antara 14 sekolah yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), Kementerian Pelajaran Malaysia , Kohort ke-3, 2012. Berbanding 4 buah sekolah menegah yang turut terpilih, SAKTI antara yang paling ‘muda’. Usianya baharu 16 tahun. Pasti ada sesuatu yang ‘menarik’ sehingga SAKTI mampu meraih anugerah berprestij ini. Tidak mungkin pegawai-pegawai yang hadir melakukan pemantauan membuat penilaian ‘ala kadar’. Anugerah ini melibatkan peruntukan, apatah lagi menjadi sebahagian daripada Program Tranformasi Kerajaan!. Kalau hendak diamat-amati pengiktirafan ini turut melibatkan ‘maruah’. Sudah pasti pemilihannya sangat berhati-hati dan teliti. Malahan, sebagai salah seorang yang diamanahkan untuk melayan kunjungan pegawai-pegawai pemantau, ‘tension’ juga dibuatnya mencari dokumen dan data yang dikehendaki.

Bercakap tentang SBT, ada banyak elemen yang telah menyumbang sehingga SAKTI layak menerima pengiktirafan setinggi itu. Tanpa menafikan peranan yang telah dimainkan oleh pengetua-pengetua terdahulu, siapapun boleh menjangka bahawa ada individu pengetua yang hebat telah menjadi catalyst atau nakhodanya. Individu ini pasti memiliki ciri-ciri kepimpinan yang dinamis dan berkesan sehingga mampu menyuntik keyakinan serta meyatukan hasrat seluruh warga SAKTI agar mampu berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan SBP yang lebih berdaya maju sama ada dalam pengurusan, akademik, sahsiah atau kokurikulum. Menyedari bahawa kerbau seratus dapat digembalakan, manusia seorang tidak terkawal maka beliau memperkenalkan Model 1 Sakti sebagai salah satu cara untuk memantapkan gerakan ke arah hala tuju mencapai Visi dan Misi yang telah sama-sama dipersetujui. Perlu diakui bahawa idea seumpama ini hanya dilakukan oleh pemimpin yang memiliki matlamat jelas untuk melakukan perubahan. Sebenarnya, perkongsian hasrat dan cita-cita inilah yang menjadi nadi keberkesanan pengurusan dan kebersamaan warga SAKTI.

Dalam masa yang sama, ketekalan dan ketegasannya dalam aspek pemantauan turut diambil kira dalam menilai keberkesanan kepimpinan individu ini. Sebut apa saja program, aktiviti mahupun peristiwa yang berlaku di sekolah dan asrama sama ada kecil ataupun besar, semua dibawah pengetahuannya. Tidak bermakna beliau seorang autokratik, jauh sekali bersifat didaktor dalam pengurusannya! Beliau sekadar mahu memastikan perjalanan sekolah tidak tergelincir lalu tersasar dari matlamat asalnya. Berpegang kepada prinsip jangan sampai kudis menjadi tokak, beliau akan pantas mencari ‘ubat’ sekiranya ada masalah yang boleh menganggu perjalanan warga kerjanya. ‘Ubat’ itulah yang kadang-kadang amat pahit untuk ditelan oleh siapa sahaja yang terlibat. Bukan sedikit guru atau staf yang saban hari terpaksa masuk mengadap untuk memberi penjelasan berkaitan status perjalanan program atau aktiviti yang diamanahkan untuk diuruskannya.Kesanggupan dan keupayaannya membelek setiap inci pagar sekolah pada hari pertama beliau mendaftar di SAKTI , menjadi bukti kesungguhan individu ini dalam memastikan kecemerlangan pengurusan sekolah. Sebagai pembantu yang turut serta dalam ‘misi keliling pagar’ pada hari tersebut, memanglah terasa bisanya!.

Kerja bertangguh tidak menjadi ,kerja beransur tidak bertahan, menjadi satu lagi amalan dalam kepimpinannya. Prinsip kerja ini selalu diterapkan melalui ucapan dan tindakan beliau dalam mengurus sekolah. Memaparkan dapatan pemantauan menggunakan lensa kemara digitalnya seolah-olah menjadi satu agenda wajib dalam mesyuarat pengurusan saban minggu. Tujuannya supaya segala masalah dapat dilihat, dikongsi seterusnya membuat tindakan susulan secara kolektif dalam kalangan barisan kepimpinan sekolah. Secara tidak langsung nilai kebersamaan dalam kalangan warga SAKTI dapat diperkukuh. Ibarat kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah. Dalam masa yang sama, kualiti hasil kerja turut dititikberatkan. Biarpun agak ‘rimas’ untuk dituruti pada peringkat awal, akhirnya seluruh warga SAKTI akur dengan budaya kerja yang murni ini, sepahit-pahit peria, dimakan juga. Kesudahannya, guru-guru dapat memberi fokus yang lebih terhadap tugas utamanya di kelas, tanpa terbeban dengan timbunan kerja yang tidak terurus. Hal ini turut melatih warga SAKTI agar melaksanakan tugas secara terancang dan sistematik serta bijak mendahulukan apa yang memang patut diutamakan dalam setiap pengurusan kerja.

Keberkesanan sesuatu kerja tidak harus bergantung sepenuhnya kepada arahan yang dikeluarkan oleh pihak atasan sama ada melalui lisan atau tulisan. Sebenarnya, meletakkan diri agar menjadi contoh dan ikutan orang bawahan sudah memadai. Namun, hal ini bukan suatu kerja yang mudah bagi seorang pemimpin. Perlu ada Istiqamah agar tidak diperkata, umpama ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul. Lihat saja garaj kereta pada awal pagi. Sukar untuk menafikan hakikat bahawa beliaulah antara orang yang paling awal hadir ke sekolah. Keadaan ini mengakibatkan guru- guru terasa tercabar dan ‘segan silu’ untuk meletakkan kenderaan selepas kehadirannya. Akhirnya, kebiasaan ini menjadi budaya yang turut membantu kelancaran urusan harian guru dan staf dalam membantu mengurus perubahan di SAKTI.

Menyedari bahawa kecemerlangan akademik menjadi agenda utama di SBP, individu ini tidak pernah berasa berpuas hati dengan pencapaian SAKTI dalam peperiksaan PMR dan SPM. Maka, seluruh usaha telah digembelingkan bersama bagi memastikan SAKTI sentiasa berada pada kedudukan yang boleh mencabar sekolah-sekolah SBP yang lain. Pelbagai cara diteroka , pelbagai kaedah sentiasa dicuba bagi memastikam SAKTI memiliki momentum untuk bersaing. Tanpa bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, sebenarnya pada zamannyalah SAKTI berjaya memecahkan ‘kebuntuan’ untuk memperoleh GPS di bawah 2.0 dalam peperiksaan SPM. GPS 1.73 (2009) dan 1.95 (2010) menjadi bukti kehebatan beliau. Pada saat ini SAKTI masih menunggu dengan penuh debar keputusan SPM 2011. Manakala, rekod pencapaian terbaik PMR sepanjang penubuhan SAKTI turut tercatat semasa SAKTI di bawah empayar kepimpinannya. Dengan 71% calon PMR SAKTI memperoleh 8A (2010) anak-anak PMR pada ketika itu telah melakukan lonjakkan saujana berbanding dengan tahun sebelumnya yang sekadar mencatat 50.7 % (2009). Biarpun pada tahun 2011 cacatannya merosot sebanyak 0.01%, namun masih boleh dibanggakan.

Apapun yang difikirkan, SAKTI kini telahpun menerima pengiktirafan dari kerajaan melalui Kementerian Pelajaran. Segala penat lelah, kesungguhan, pengorbanan dan usaha warga sekolah dari guru, pelajar, PIBG termasuklah pekerja-pekerja swasta telah diperakui. Sehinggakan,ganjaran RM700,000.00 yang diberi oleh KPM untuk membiayai program dan aktiviti meningkatkan kecemerlangan murid dan sekolah menjadi agak kecil nilainya jika dibandingkan dengan pengiktirafan sebagai SBT. Pengiktirafan ini menyedarkan warga SAKTI, bahawa semuanya memiliki kemampuan untuk berjaya. Selalu memikirkan kelemahan dan ketidakmampuan diri merupakan tindakan yang kurang bijak. Kata orang, selembap-lembap puntung di dapur, ditiup menyala jua. Selepas ini warga SAKTI pasti bersatu, sepakat kita kuat, berpecah kita rebah. Tanpa disedari Honda City yang dipandu melepasi Tol Ayer Keroh Melaka. Hasrat untuk bertemu dengan Ayahanda Tn Hj Hassan bin Topit, catalyst SAKTI yang kini bertugas di MOCIZ harap-harap kesampaian. Kami ingin berkongsi kegembiraan dengan pengiktirafan ini.

Burung kedidi menangkap ikan

Anak helang bermain di taman

Secankir budi tuan hulurkan

Dahaga hilang sepanjang zaman

Friday, November 4, 2011 at 10:31 PM


Gurindam 12

Ini gurindam pasal yang pertama:

Gurindam 1

Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang yang ma'rifat
Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,
tahulah ia barang yang teperdaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah Ia dunia mudarat.

Gurindam II

Ini gurindam pasal yang kedua:

Barang siapa mengenal yang tersebut,
tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
tidaklah mendapat dua termasa.
Barang siapa meninggalkan zakat,
tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
tiadalah ia menyempurnakan janji.

Gurindam III

Ini gurindam pasal yang ketiga:

Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadaiah damping.
Apabila terpelihara lidah,
niscaya dapat daripadanya paedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
keluarlah fi'il yang tiada senunuh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,
daripada berjaian yang membawa rugi.

Gurindam IV

Ini gurindam pasal yang keempat:

Hail kerajaan di daiam tubuh,
jikalau lalim segala anggotapun rubuh.
Apabila dengki sudah bertanah,
datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah pikir,
di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,
nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikitpun berbuat bohong,
boleh diumpamakan mulutnya itu pekong.
Tanda orang yang amat celaka,
aib dirinya tiada ia sangka.
Bakhil jangan diberi singgah,
itupun perampok yang amat gagah.
Barang siapa yang sudah besar,
janganlah kelakuannya membuat kasar.
Barang siapa perkataan kotor,
mulutnya itu umpama ketur2.
Di mana tahu salah diri,
jika tidak orang lain yang berperi.

Gurindam V

Ini gurindam pasal yang kelima:

Jika hendak mengenai orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa,
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
sangat memeliharakan yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.
Jika hendak mengenal orang yang berakal,
di dalam dunia mengambil bekal.
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.

Gurindam VI

Ini gurindam pasal yang keenam:

Cahari olehmu akan sahabat,
yang boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru,
yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
yang boleh dimenyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,
pilih segala orang yang setiawan.
Cahari olehmu akan abdi,
yang ada baik sedikit budi,

Gurindam VII

Ini Gurindam pasal yang ketujuh:

Apabila banyak berkata-kata,
di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
itulah landa hampirkan duka.
Apabila kita kurang siasat,
itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,
I'ika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,
itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,
menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila menengar akan aduan,
membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,
lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,
lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar,
tidak boleh orang berbuat onar.

Gurindam VIII

Ini gurindam pasal yang kedelapan:

Barang siapa khianat akan dirinya,
apalagi kepada lainnya.
Kepada dirinya ia aniaya,
orang itu jangan engkau percaya.
Lidah yang suka membenarkan dirinya,
daripada yang lain dapat kesalahannya.
Daripada memuji diri hendaklah sabar,
biar dan pada orang datangnya khabar.
Orang yang suka menampakkan jasa,
setengah daripada syarik mengaku kuasa.
Kejahatan diri sembunyikan,
kebalikan diri diamkan.
Keaiban orang jangan dibuka,
keaiban diri hendaklah sangka.

Gurindam IX

Ini gurindam pasal yang kesembilan:

Tahu pekerjaan tak baik,
tetapi dikerjakan,
bukannya manusia yaituiah syaitan.
Kejahatan seorang perempuan tua,
itulah iblis punya penggawa.
Kepada segaia hamba-hamba raja,
di situlah syaitan tempatnya manja.
Kebanyakan orang yang muda-muda,
di situlah syaitan tempat berkuda.
Perkumpulan laki-laki dengan perempuan,
di situlah syaitan punya jamuan.
Adapun orang tua yang hemat,
syaitan tak suka membuat sahabat
Jika orang muda kuat berguru,
dengan syaitan jadi berseteru.

Gurindam X

Ini gurindam pasal yang kesepuluh:

Dengan bapa jangan durhaka,
supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat,
supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai,
supaya boleh naik ke tengah balai.
Dengan isteri dan gundik janganlah alpa,
supaya kemaluan jangan menerpa.
Dengan kawan hendaklah adil supaya tangannya jadi kafill.

Gurindam XI

Ini gurindam pasal yang kesebelas:

Hendaklah berjasa,
kepada yang sebangsa.
Hendaklah jadi kepala,
buang perangai yang cela.
Hendaklah memegang amanat,
buanglah khianat.
Hendak marah,
dahulukan hajat.
Hendak dimulai,
jangan melalui.
Hendak ramai,
murahkan perangai.

Gurindam XII

Ini gurindam pasal yang kedua belas:

Raja muafakat dengan menteri,
seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja,
tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat,
tanda raja beroleh anayat.
Kasihan orang yang berilmu,
tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai,
tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati,
itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,
kepada hati yang tidak buta.

SAKTI DAN BANDAR PENAWAR DARI UDARA

Thursday, August 18, 2011 at 12:30 AM





























Sukar bangun Subuh? Ini tipsnya

Wednesday, June 1, 2011 at 8:20 PM
Oleh Ust Zuridan Al-Teminie

Sesungguhnya segala puji-pujian hanya layak bagi Allah Azza Wajalla, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Antara suasana yang membimbangkan berlaku kepada kebanyakan umat Islam pada hari ini ialah gejala meninggalkan solat Subuh dan meninggalkan solat Subuh berjamaah di Masjid. Meskipun diketahui bahawa mengerjakan solat Subuh khususnya di Masjid secara berjamaah mempunyai kelebihan yang besar di sisi Islam dalam menjana kekuatan iman namun kini ramai yang mengabaikannya. Malah di kalangan mereka yang mendukung perjuangan Islampun ramai yang kalah untuk bangun awal mengerjakan solat Subuh di masjid.

Keadaan ini adalah berpunca dari sikap suka berjaga lewat malam sama ada kerana melakukan aktiviti seperti menonton televisyen, bersukan, makan-makan dan berbual kosong dalam perkara yang tiada manfaat. Inilah yang selalunya menyebabkan umat Islam berjaga hingga lewat malam hingga menyebabkan mereka terlepas keberkatan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW pada awal pagi. Jika kita lihat generasi umat Islam lampau mereka sangat mengambil berat soal tidur awal agar mereka dapat bangun lebih awal untuk melaksanakan ibadah dan seterusnya bekerja pada awal pagi dengan perasaan yang segar dan sihat. Oleh kerana itulah kehidupan generasi lampau di kalangan datuk, nenek dan moyang kita sentiasa sihat dan bertenaga pada siang hari. Jarang sekali kita dengar mereka ditimpa penyakit atau tekanan perasaan seperti yang berlaku pada ramai orang pada hari ini. Oleh kerana itulah Nabi SAW bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا
Ertinya: “Ya Allah! Berkatilah umatku pada waktu paginya”. Hadis riwayat Ahmad
Bagi membantu sahabat-sahabat untuk bangun awal pagi supaya dapat bertahajjud, solat sunat dua rakaat sebelum subuh dan solat subuh berjamaah di Masjid, di sini dinukilkan beberapa kaedah yang sedikit-sebanyak dapat membantu.
Kaedah membantu diri untuk mudah bangun pagi ialah:
1) Tidur awal:
Menjadi kebiasan mereka yang tidur awal akan bangun awal dan sebaliknya mereka yang tidur lewat akan bangun lewat. Oleh kerana itu adalah makruh hukumnya tidur sebelum solat Isyak dan berbual-bual kosong dan membuang masa selepasnya hingga menyebabkan tidur lewat. Namun begitu ada keadaan yang dikecualikan untuk tidur lewat sepertimana yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi dalam huraiannya kepada Sahih Muslim. Katanya: Sebab dimakruhkan berbual-bual selepas solat Isyak ialah yang membawa kepada berjaga malam dan dibimbangi akan menyebabkan tertidur nyenyak hingga tertinggal qiamullail atau terlepas solat Subuh pada waktunya atau waktu yang afdhalnya dan adalah makruh berbual-bual selepas solat Isyak iaitu dalam perkara-perkara yang tiada kemaslahatan, adapun sekiranya pada perkara yang ada maslahat dan kebaikan maka tidaklah makruh, seperti mempelajari ilmu, membicarakan kisah orang-orang soleh, berbual dengan tetamu, berbual dengan dengan ahli keluarga bagi mengeratkan hubungan dan menunaikan keperluan mereka, berbual dengan orang musafir bagi menjaga harta dan diri mereka, berbual dalam urusan mendamaikan antara manusia dan membantu mereka dalam perkara kebaikan, menyeru kepada kebaiakan dan mencegah kemungkaran, menunjukkan kepada kemaslahatan dan yang seumpamanya, semua itu tidaklah termasuk dalam perkara makruh”.
Bagi seorang Muslim yang perihatin dia berjaga malam adalah kerana aktiviti perjuangan dan ibadah dan bukannya kerana perbuatan lagho, dan jika sekiranya dia lewat tidurpun dia tetap berusaha dan memastikan bangun awal untuk ke Masjid solat berjamaah subuh.
2) Memelihara adab tidur:
Kunci kedua untuk mudah bangun pada waktu subuh ialah memelihara amalan sunnah ketika tidur pada waktu malam. Iaitu dengan berwudhuk, ketika di atas pembaringan duduk sambil menghimpunkan kedua-dua belah telapak tangan dan meniupkan ke atasnya selepas membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas kemudian disapu ke seluruh badan dan tidur dengan membaca doa sebelum tidur. Bagi mereka yang sukar bangun pagi, hendaklah memohon bantuan daripada ahli keluarga, kawan atau jiran bagi membantu menggerakkannya untuk bangun pada awal pagi atau menyediakan jam loceng. Bagi mereka yang sudah terbiasa bangun awal pada waktu subuh selalunya tidak menjadi masalah untuk bangun awal kerana secara fitrah dia akan bangun pada masanya dan tidak perlu kepada faktor luaran untuk menggerakkannya kerana seolah-olah ia sentias dibantu oleh para Malaikat untuk bangun awal.
Kemudian setelah terjaga hendaklah membaca doa dan janganlah sekali-kali meneruskan tidur kerana ia akan membawa kepada terjaga lewat.
3) Memenuhkan dada dengan Iman dan ‘amal soleh:
Keimanan yang kuat adalah merupakan pendorong utama bagi seseorang melakukan sesuatu yang sukar. Mengerjakan qiamullail dan solat Subuh di Masjid adalah suatu amalan yang sukar dan ia tidak dapat dilakukan kecuali oleh mereka yang benar-benar yakin kepada janji kebaikan daripada Allah Taala. Justeru bagi meningkatkan keimanan dalam dada, seseorang itu hendaklah menambahkan amalannya dengan banyak melakukan kebaikan, kerana dengannya hati seseorang itu akan menjadi suci dan bersih yang memudahkan untuk suburnya Iman. Sebaliknya hati yang kotor akan menjadi keras dan kekerasan hati adalah menjadi penghalang kepada seseorang itu untuk melakukan amal ibadah yang sukar seperti solat Subuh berjamaah di Masjid dan qiamullail. Hati boleh menjadi keras kerana dikotori oleh sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, ujub dan riak atau disebabkan makan dari sumber yang tidak halal.
4) Menjauhi perbuatan maksiat:
Maksiat adalah penghalang bangun solat Subuh dan mengerjakannya di Masjid. Justeru hendaklah kita sentiasa menjauhi segala maksiat. Seperti yang berpunca daripada mata iaitu melihat perkara yang haram seperti melihat aurat wanita, sama ada melalui televisyen ataupun internet. Juga yang berpunca dari lidah iaitu perbuatan mengata orang, mengeji, mengumpat dan menabur fitnah. Juga yang berpunca dari telinga seperti mendengar hiburan-hiburan haram dan umpatan serta fitnah. Mereka yang melakukan maksiat selalunya sukar untuk bangun solat Subuh atau ke Masjid kerana ia melemahkan naluri beramal soleh dan menghakis keyakinan kepada janji-janji kebaikan daripada Allah Taala. Mata, lidah dan telinga sepatutnya digunakan bagi melihat, membaca dan mendengar perkara kebaikan seperti al-Quran, al-Hadis, ceramah dan lain-lain.
5) Mengetahui kelebihan solat Subuh dan fadhilat mengerjakannya di Masjid
Hendaklah mengetahui kelebihan dan keistimewaan amalan solat subuh dan mengerjakannya di Masjid kerana dengan mengetahuinya barulah seseorang itu terdorong untuk berlumba melakukannya. Saidina Uthman bin ‘Affan r.a meriwayatkan bahawa beliau telah mendengar Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ
Ertinya: Barangsiapa yang solat Isyak secara berjamaah seumpama bangun mengerjakan qiam separuh malam dan barangsiapa mengerjakan solat Subuh secra berjamaah seumpama dia solat keseluruhan malam”. Hadis riwayat Imam Muslim.
Ibnu Mas ‘ud r.a meriwayatkan telah diceritakan kepada Rasulullah SAW berkenaan dengan seorang lelaki yang tidur pada malam hari sehingga terlajak waktu Subuh, maka baginda SAW bersabda:
ذَاكَ رَجُلٌ بَالَ الشَّيْطَانُ فِي أُذُنِهِ أَوْ أُذُنَيْهِ
Ertinya: Lelaki tersebut telah dikencing oleh syaitan di telinganya (atau kedua telinga). Hadis riwayat Imam Al-Bukhari.
Menurut Imam Al-Qurtubi kencing syaitan adalah kencing yang hakiki dan bukan hanya simbolik. Sebab itu ada kalanya kita boleh kenal mereka yang tidak solat Subuh kerana wajahnya yang suram akibat dari kencing syaitan, berbeza dengan mereka yang bangun solat Subuh pada awal pagi.
Kebesaran dan keagungan solat Subuh berjamaah di Masjid hendaklah dimasukkan ke dalam hati kerana ia akan menangkis bisikan syaitan yang selalu membisikkan rasa ringan meninggalkannya. Bagi para ulama dan ustaz pula hendaklah menanamkan rasa malu dan bersalah yang amat sangat jika tidak hadir solat Subuh berjamaah kerana dia adalah contoh ikutan orang awam.
6) Mengetahui kesan meninggalkan solat subuh@solat berjamaah subuh.
Antara punca jiwa menjadi lemah dan hilangnya banyak daripada kelebihan agama dan dunia ialah bangun lewat dan meninggalkan fardu subuh. Oleh kerana itulah syaitan sentiasa cuba menghalang orang yang beriman untuk mendapatkan kelebihan pada waktu subuh dengan menghalangnya daripada bangun tidur. Nabi SAW bersabda: ((syaitan mengikat/membelenggu tengkuk di kalangan kamu yang tidur dengan tiga ikatan. Dia memukul di atas ketiga-tiga ikatan (sambil berkata) : Malam masih panjang, teruskan tidur! Jika dia bangun lalu berzikir menyebut nama Allah Taala maka terungkailah satu ikatan, jika dia berwuduk terungkailah ikatan berikutnya dan jika dia solat maka terungkailah semua ikatan. Maka pagi itu dia akan cergas dan baik jiwanya, jika tidak dia akan berpagi dalam keadaan jelek dan malas)). HR Al-Bukhari.
Waktu selepas solat Subuh adalah waktu yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan, justeru Nabi SAW memelihara waktu tersebut iaitu memenuhkannya dengan zikir dan baginda selalunya selepas subuh terus duduk sambil berzikir sehinggalah terbit matahari, dan kemudian baginda solat dua rakaat Dhuha.
Amalan ini menjadi ikutan para ulama salafussoleh, antaranya ialah Imam Ibnu Taimiyyah yang turut melakukan amalan duduk berzikir selepas solat Subuh sehingga terbit matahari sepertimana yang dikhabarkan oleh muridnya Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah.
Waktu selepas solat Subuh adalah saat banyaknya kebaikan dan keberkatan, kerana itulah Nabi SAW berdoa:
((اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِيْ فِيْ بُكُوْرِهَا))
Maksudnya: Ya Allah berkatilah ummatku di waktu pagi! HR Al-Tirmizi.
Oleh sebab itu kita lihat mereka yang berjaya dalam urusan dunia mereka seperti berniaga, menternak atau bertani memulakan kerja mereka di awal pagi kerana rezki terbuka luas di waktu tersebut. Begitulah juga dalam urusan akhirat waktu pagi adalah saat yang paling baik menambahkan amal ibadah. Oleh itu mereka yang mengsia-siakan waktu tersebut dengan tidur atau berehat-rehat sahaja sebenarnya telah mendapat kerugian dalam hidup mereka.
Di samping kelebihan dalam kerja dan ibadah, mereka yang bangun awal juga mendapat kebaikan dari sudut kesihatan kerana udara yang dihirup di waktu subuh adalah udara yang segar dan akan hilang kesegarannya apabila terbitnya matahari. Kesegaran udara di waktu pagi ini akan mencerdaskan otak, mendamaikan jiwa dan mencergasan fizikal.
7) Menjauhi sifat-sifat munafiq.
Kehadiran diri ke Masjid pada waktu subuh adalah merupakan bukti kekuatan iman seseorang Muslim dan bebasnya diri dari sifat minafiq kerana ia adalah waktu paling sukar untuk melaksanakan ketaatan. Rasulullah SAW bersabda:
((إِنَّ أَثْقَلَ الصَّلَاةَ عَلَى المـُـنَافِقِيْنَ صَلَاةُالعِشَاءِ وَالفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُوْنَ مَا فِيْهِمَا لَأَتَوهُمَا وَلَوْ حَبْوًا))
Maksudnya: (( Sesungguhnya solat yang paling berat bagi mereka yang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh, kalaulah mereka tahu kelebihan kedua-duanya nescaya mereka akan datang melaksanakannya meskipun dalam keadaan merangkak)) HR Al-Bukhari dan Muslim.
Abdullah bin Mas ‘ud r.a berkata: “Engkau telah melihat kami dan tidak meninggalkannya (solat Subuh) melainkan munafiq yang dimaklumi sifat nifaqnya”. Riwayat Muslim, Abu Daud, Al-Nasai dan Ibnu Majah.
Ibnu Umar r.a pula berkata: “Apabila kami dapati ada lelaki yang tidak hadir solat (di Masjid) pada waktu fajar (Subuh) dan Isyak kami akan berburuk sangka terhadapnya”. Riwayat Al-Bazzar, Al-Tobrani dan Ibnu Khuzaimah.
Oleh itu jika anda mahu mengukur secara zahir iman seseorang maka ia boleh diukur dengan keadaan solat Subuhnya. Jika dia seorang yang sangat memelihara solat Subuh dan melaksanakannya secara berjamaah di Masjid maka ia menjadi bukti kepada kekuatan imannya. Namun jika sebaliknya, dia sangat malas berjamaah di Masjid waktu subuh maka itu adalah petanda imannya yang bermasalah serta kekerasan hatinya. Ia juga menunjukkan ketundukannya kepada hawa nafsu dan kekalahannya kepada bisikan syaitan. Seseorang yang mampu bangun untuk pergi berjamaah pada waktu Subuh adalah bukti kekuatan iman seseorang kerana dia telah menang dalam peperangan dengan hawa nafsu dan hasutan syaitan supaya terus tidur.
Bagi mereka yang terus tidur, apakah mereka berasa lebih seronok diulit mimpi di atas katil sedangkan ahli jamaah yang lain sedang beribadah dan mendengar bacaan Al-Quran di dalam solat di Masjid. Adalah menjadi satu kerugian yang besar bagi mereka yang tidak merasakan apa-apa kekurangan pada diri mereka sedangkan mereka terus jauh dari rahmat Allah Taala pada waktu pagi.

Tuesday, May 31, 2011 at 10:09 PM
Kepada semua guru yang dihormati dan semua pelajar SAKTI yang dikasihi. Selamat Bercuti. Gunakan masa cuti dengan kegiatan yang memberi faedah. Kepada pelajar tkn 3 dan 5 gunakan masa cuti untuk mengulangkaji pelajaran demi persediaan menghadapi peperiksaan PMR dan SPM pada akhir tahun 2011 nanti. Jangan lupa untuk program COMEBACK.
at 10:06 PM
Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu “Janganlah kamu membenarkan atau menyalahkan apa yang kamu tidak tahu!”