Keikhlasanku

Friday, July 24, 2009 at 6:38 PM

Para guru dan para pelajar yang dingati,

Pembinaan Jati diri Pelajar

Sekolah merupakan premis semaian bagi pembinaan generasi akan datang. Pembinaan generasi yang subur nilai kemanusiaannya. Jurubina atau arkitek nilai tersebut adalah para guru. Pelajar yang subur nilai kemanusiaannya pula dapat menyuburkan apa sahaja yang disentuhinya. Mentransformasikan nature menjadi budaya sehingga wujud kehidupan belajar yang berbudaya dan sejahtera. Pendek kata apa yang ditanam itulah hasil yang akan dituai.

Maka itu kepelbagaian teknik dan pendekatan sama ada dalam pengajaran atau dalam menangani masalah disiplin pelajar adalah usaha ke arah menghasilkan anak-anak pelajar yang mempunyai nilai dan jati diri yang diterima oleh masyarakat. Mereka yang mempunyai jati diri akan berupaya memandu diri ke arah pencapaian matlamat iaitu berjaya di dunia dan selamat di akhirat. Ibarat ikan yang hidup di laut, ia tidak akan terpengaruh kepada air yang masin. Manusia yang kaya nilai berupaya mengayakan orang lain.Kepelbagaian pendekatan ini boleh merawat masalah-masalah yang dihadapi oleh para pelajar dan merupakan instrumen yang boleh diguna pakai dalam mematangkan pembinaan jati diri tersebut.

Proses Pembelajaran

Dalam proses pembelajaran, yang penting ialah sejauh mana dan sebanyak mana para pelajar dapat belajar; bukan sejauh mana dan sebanyak mana guru dapat mengajar. Banyak mana pengajaran yang diperolehi dan difahami itulah sebenarnya penentu keberkesanan pengajaran guru. Justeru, sebagai pelajar kita perlu melihat semula sejauh mana dan sebanyak mana kita telah dapat belajar. Bagi memastikan matlamat ini tercapai, para pelajar perlu kepada minda terbuka untuk menerima segala bentuk ajaran, nasihat dan teguran daripada guru.

Kemenjadian Pelajar

Kemenjadian pelajar SAKTI dalam pencapaian akademik ditandai dengan banyaknya anda mendapat A dalam setiap mata pelajaran yang diambil. Maka itu jangan sampai anda lupa untuk menghasilkan semua A dalam setiap pencapaian akademik anda khususnya pelajar PMR dan SPM. Setiap satu A yang anda perolehi, anda sebenarnya telah menyumbang kepada pencapaian Gred Purata Keseluruhan (GPK) yang lebih baik untuk sekolah. Pencapaian GPK yang lebih baik untuk sekolah ini akan memberi wajah baru bagi SAKTI yang kita kasihi.

Memberi Wajah Baru SAKTI

Dalam konteks memberi wajah baru kepada SAKTI setiap seorang daripada pelajar kena bertindak secara proaktif dengan :

  • Sentiasa berlumba-lumba mendahulu diri dalam setiap perbuatan dan amalan.sepanjang bersekolah di SAKTI
  • Sentiasa bersedia menjadi ”gelas yang kosong” yang boleh menerima nasihat serta teguran.
  • Sentiasa memberi fokus sewaktu guru mengajar
  • Sentiasa selalu bertanya jika tidak faham pengajaran guru
  • Sanggup menempuh segala bentuk cabaran dan kesukaran
  • Padamkan segala masalah yang bersifat titik bengik
  • Sentiasa mengelak daripada melakukan kesalahan
  • Sentiasa bersedia bersama-sama dan mementingkan semangat kekitaan
  • Sentiasa sedia untuk berubah ke arah yang lebih baik
  • Selalu mendepani kejayaan dalam setiap aspek

Memartabatkan SAKTI

Walaupun kita mempunyai kepelbagaian dari segi cita rasa dan tindakan, tetapi saya yakin kita mempunyai satu tujuan yang boleh dikongsi bersama. ”Diversity in Unity”. Tujuan kita hanya satu ”Memartabatkan SAKTI Di Kedudukan Nombor 5 Di Persada SBP”. Setiap seorang daripada kita – Pengetua, Penolong-Penolong Kanan, Guru Kanan Mata Pelajaran, para guru, staf sokongan dan semua pelajar mempunyai saham yang sama dalam menjayakannya. Ingatlah dalam konteks mencapai kejayaan kita kena sentiasa berbaik sangka walau dengan siapa sekalipun juga sentiasa berusaha ingat mengingat bukan salah menyalah antara satu sama lain.

Watak Seorang Guru

Kepada semua guru ingatlah ke mana sekalipun kita pergi dan di mana sekalipun kita berada jangan lupa kita adalah guru. Maka jagalah jati diri dan martabat profesion kita sebagai seorang guru. Setiap seorang daripada kita mestilah sentiada cekap dan sentiasa cukup bersedia apabila mengajar. Orang yang cekap akan datang dalam keadaan cukup bersedia bagi menghadapi apa jua keadaan yang mungkin timbul. Kita kena percaya dan yakin setiap seorang pelajar di SAKTI mempunyai kemampuan untuk berjaya. Jika kita tidak percaya pelajar kita mempunyai kemampuan untuk belajar, sehingga bilapun SAKTI tidak akan bertukar wajah. Sesungguhnya “Teachers can make a difference” (Edmonds, 1979). “It is the leadership of the school that makes the difference between mediocrity and excellence” (Ubben and Hughes, 1987)

Hubungan Guru dengan Pelajar

Hubungan yang baik antara guru dan anak-anak pelajar mestilah bersifat manusiawi yang penuh dengan kasih sayang, toleransi, penghargaan, pujian juga kesaksamaan. Kata-kata berikut elok direnungkan:

Anak-anak yang belajar dari kehidupannya

Jika seorang anak hidup dengan bidasan, dia belajar untuk mengutuk.

Jika seorang anak hidup dengan permusuhan, dia belajar untuk bergaduh.

Jika seorang anak hidup dengan cemuhan, dia belajar untuk ragu.

Jika seorang anak hidup dengan aib, dia belajar untuk merasa bersalah.

Jika seorang anak hidup dengan toleransi, dia belajar untuk bersabar.

Jika seorang anak hidup dengan galakan, dia belajar untuk yakin.

Jika seorang anak hidup dengan pujian, dia belajar untuk menghargai

Jika seorang anak hidup dengan kesaksamaan, dia belajar untuk adil.

Jika seorang anak hidup dengan keselamatan, dia belajar untuk percaya.

Jika seorang anak hidup dengan persetujuan, dia belajar untuk menyukai diri.

Jika seorang anak hidup dengan penerimaan dan persahabatan, dia belajar untuk menemui kasih sayang di dunia ini.

To all of you - 1, 4, 3

Ayahanda Pengetua SAKTI

0 comments

Post a Comment