Monday, March 8, 2010 at 7:56 AM
Dilema Ke Sekolah Asrama Penuh

Baru-baru ini Anita memperoleh keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang membanggakan dan bercadang menyambung persekolahan menengah di sekolah berasrama penuh (SBP).

Namun apabila kerajaan mengumumkan hanya akan mengambil hanya 6,090 orang sahaja daripada 93,000 pelajar yang memohon untuk ke asrama penuh, Anita menjadi berbelah bahagi.

Tambahan pula terdapat saudara terdekatnya yang pulang semula ke sekolah harian biasa kerana tidak sesuai dengan persekitaran dan suasana di asrama penuh. Dia menjadi keliru dan serba salah antara keinginan dan cabaran yang akan ditempuhi.
Kelebihan Sekolah Berasrama Penuh
Kita semua pasti teruja dengan berita bahawa 93,000 pelajar memohon masuk ke SBP sedangkan tempat yang tersedia hanya untuk 6,090 orang sahaja. Bilangan itu meliputi 42,029 pelajar calon UPSR yang meraih semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Sebanyak 12,320 calon pula adalah daripada semua yang meraih A datangnya dari luar bandar. Adik Anita mungkin adalah salah seorang daripada mereka yang memohon itu dan mungkin yang bertuah untuk mendapat tempat di salah satu daripada 48 SBP dan SBP Agama atau di lebih 41 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara.

Sekolah berasrama penuh dibangunkan untuk melahirkan pelajar yang cemerlang daripada segi akademik, jasmani dan rohani. Selain itu, ia juga bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berketerampilan, proaktif serta mempunyai disiplin yang tinggi.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd. Dom pernah berkata, antara tujuan utama kerajaan membina SBP adalah memberi peluang kepada pelajar cemerlang dari luar bandar merasai suasana pembelajaran lebih selesa. Jelas beliau lagi, ia juga lebih terarah terhadap usaha kerajaan menyediakan pendidikan terbaik kepada pelajar cemerlang daripada kalangan keluarga kurang berkemampuan termasuk anak masyarakat Orang Asli.

Banyak kelebihan yang boleh dinikmati bukan sahaja untuk para remaja itu sendiri. Kepada ibu bapa, ia pasti dapat membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan dan juga mereka yang tinggal di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan asas yang lengkap.

Guru-guru dan kualiti pembelajaran yang baik dapat membantu pelajar-pelajar ini dalam mencapai cita-cita mereka. Jadual seharian yang ditetapkan oleh pihak sekolah dapat membantu mendisiplinkan pelajar dalam aktiviti seharian mereka. Selain itu ia juga dapat melahirkan pelajar yang berdikari dan mempunyai asas kendiri yang teguh.

Biarpun banyak kelebihan yang diperoleh daripada sekolah asrama penuh, beberapa faktor perlu dikaji sebelum ibu bapa atau pelajar itu membuat keputusan untuk ke sekolah berasrama penuh.
Ke Asrama Atau Tidak?
Para ibu bapa dan anak mereka seharusnya berbincang untuk meneliti kemungkinan dan membuat keputusan dalam hal ini. Ini untuk mengelakkan daripada terjadinya ketidaksediaan remaja untuk ke sekolah asrama penuh.

Apabila ini terjadi, psikologi anak-anak yang masih muda ini akan terganggu. Lebih parah lagi sekiranya ia menjejaskan prestasi pembelajaran mereka. Dalam hal ini, mungkin ibu bapa boleh mempertimbangkan sama ada menghantar anak mereka ke sekolah berasrama semasa Tingkatan 1 atau Tingkatan 4.

Terdapat ibu bapa yang berpendapat bahawa umur 12-13 tahun adalah terlalu muda untuk ke sekolah berasrama kerana mereka belum matang dalam membuat keputusan dan untuk menyesuaikan diri dengan cabaran di persekitaran baru.

Menghantar anak-anak ke asrama seharusnya diiringi dengan kesediaan ibu bapa dan remaja itu sendiri. Ibu bapa harus meneliti akan watak dan keterampilan anak mereka dan juga sekolah terbabit. Kebanyakan ibu bapa pasti mempunyai hujah yang kuat untuk menghantar anak mereka ke asrama, iaitu untuk mendapatkan pendidikan terbaik dan juga sebagai langkah untuk menerapkan disiplin dalam diri anak mereka supaya cara hidup lebih teratur.

Namun di sebalik itu, ia bergantung kepada anak itu sendiri yang akan menentukan kaedah pembelajaran dan budaya seharian. Apa gunanya di sekolah berdisiplin tetapi apabila berada di rumah, mereka tidak dapat mengikuti disiplin tersebut? Disiplin di sekolah mungkin berbentuk luaran, iaitu menjalankan peraturan melalui penguatkuasaan dan disokong dengan penalti atau hukuman sekiranya tidak dipatuhi.

Dalam konteks ini, ia berbalik kepada pendidikan asas dan nilai-nilai diri yang diterima di rumah, iaitu pendidikan oleh ibu bapa dan keluarga. Ibu bapa harus menyiapkan anak mereka dan membimbing anak-anak mereka untuk hidup berdikari hatta anak mereka tidak dihantar ke sekolah asrama penuh sekali pun. Nilai-nilai murni dan pendidikan agama harus sentiasa diterapkan dalam jiwa remaja. Ini supaya remaja mempunyai pertimbangan dalam menghadapi permasalahan semasa terutama sekali apabila mereka berada di dalam lingkungan rakan-rakan sebaya.

Selain itu. apabila ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah berasrama, ibu bapa haruslah memahami keperluan psikologi anak-anak yang berpisah daripada ibu bapa, keluarga dan keselesaan yang ada tatkala berada di rumah. Anak-anak harus diziarah dan dipantau supaya mereka tidak berasa keseorangan dan mendapat sokongan keluarga.

Pengalaman penulis sendiri apabila berada di sekolah berasrama, sokongan dan doa ibu bapa adalah sangat penting dalam menguatkan semangat untuk terus belajar dan menghadapi kehidupan di asrama. Namun amat menyedihkan apabila ada di kalangan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama semata-mata bagi melepaskan beban kepada pihak sekolah untuk menjaga anak mereka.

Lebih malang lagi sekiranya perbelanjaan anak-anak tidak dijaga atau dikawal. Ibu bapa bukan sahaja berkewajipan untuk menghantar belanja kepada anak-anak mereka, tetapi juga harus menasihatkan anak-anak dalam menguruskan wang yang diterima. Hal ini amat berguna apabila mereka sudah dewasa kelak. Ibu bapa juga harus bekerjasama dengan pihak sekolah dalam apa-apa program yang dijalankan dan tidak begitu ‘memanjakan’ anak-anak mereka dengan menyerahkan segala urusan hanya kepada guru dan warden sahaja.

Di pihak diri remaja pula, seharusnya ada persediaan untuk menghadapi kehidupan baru di sekolah berasrama penuh. Jadual di sekolah tidak sama jika dibandingkan apabila berada di rumah. Peraturan perlu diikuti, masa harus dipatuhi dan perhubungan baik sesama rakan dan guru harus dipelihara.

Remaja perlu menunaikan tanggungjawab dalam menguruskan masa, disiplin belajar, kewangan, dan juga tidak lupa untuk berusaha membentuk keperibadian diri yang utuh. Menyesuaikan diri di tempat baru dan mencari rakan yang baik adalah penting dalam membantu ke arah kecemerlangan diri dan sahsiah.

Remaja dan ibu bapa harus sentiasa berbincang atas permasalahan yang timbul. Perhubungan antara remaja dan keluarga tidak seharusnya menjadi renggang dan kekok. Adalah amat penting bagi remaja untuk selalu berpegang kepada nilai-nilai murni dan tidak membelakangkan nilai-nilai agama dalam menjalani kehidupan seharian.

Pengaruh rakan-rakan harus dipertimbangkan dengan baik supaya tidak terjebak dengan anasir-anasir yang boleh mendatangkan keburukan pada diri mereka dan juga keluarga. Sentiasalah memohon kepada Allah agar diberikan petunjuk dalam menghadapi sebarang cabaran yang mendatang.

Selain itu, kerjasama yang baik antara rakan-rakan dan guru-guru adalah amat penting dalam membantu menyesuaikan diri dan juga untuk mencapai matlamat untuk berjaya dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah diri.
Kesimpulan
Sekolah berasrama penuh mendatangkan banyak kebaikan bukan sahaja dalam melahirkan pelajar yang mempunyai akademik yang cemerlang, tetapi juga untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan, berakhlak mulia dan bersedia mendepani cabaran mendatang.

Golongan ini diharap mampu menjadi pemimpin di masa hadapan dan menjadi contoh yang baik untuk diikuti. Namun begitu, jika tidak terpilih, ibu bapa dan remaja tidak seharusnya berasa kecewa dan berasa rendah diri dengan rakan-rakan yang berjaya ke sekolah asrama penuh. Usaha mempertingkatkan diri harus sentiasa berjalan walau di mana sekalipun kita berada.

Kerajaan juga sedang berusaha untuk memperkasakan sekolah harian secara holistik supaya dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang. Apatah lagi ramai pelajar yang tidak ke asrama penuh pun berjaya seperti Nur Amalina yang berjaya memperolehi 17A1 dalam peperiksaan SPM beliau sungguhpun bersekolah di sekolah harian biasa.

Apa yang penting adalah kesungguhan pelajar untuk berjaya dan pada masa sama ibu bapa mereka perlu memberi sokongan penuh kepada anak-anak mereka.

Artikel ini ditulis oleh Nurul Izzah Sidek.

0 comments

Post a Comment