Monday, March 8, 2010 at 6:24 AM

Kehidupan Belajar di Sekolah Berasrama
Sebuah perkongsian oleh:
Wan Fathiyyah Wan Ibrahim
2nd Year Medical Student
Kasr el Ainy Medical School
Cairo University
,Egypt


Fikiran saya masih terikat dengan Al-Amin waktu itu. Sebab saya telah dibesarkan selama 6 tahun di sana,jadi jiwa seperti sudah sebati dengan falsafah pendidikan,visi dan misi Al-Amin.

Sejurus keluar sahaja keputusan UPSR yang sangat membanggakan,ayah berkeputusan untuk tidak menyambungkan saya ke Al-Amin seperti abang-abang saya sebelum ini. Ayah mahu menghantar saya ke sekolah berasrama. Mahu saya berdikari katanya. Ok,masa itu saya boleh terima lagi keputusan ayah.Tapi bila saja ayah kata mahu hantar saya ke sekolah berasrama di Kelantan,jiwa saya seperti memberontak. Untuk apa ayah mahu menghantar saya bersekolah jauh-jauh. Jarak antara Gombak dan Kota Bharu bukanlah dekat. Saya bermonolog dengan diri sendiri. Tiada siapa tahu apa yang saya rasa waktu itu. Walaupun saya masih punya datuk,nenek dan saudara-mara belah ayah di sana,namun saya seperti mahu membangkang juga keputusan ayah.

Emak memujuk saya berulang kali. Kata emak,ini semua untuk kebaikan saya juga di masa hadapan. Dengan pemikiran saya pada waktu itu hanya berumur 13 tahun,saya menuruti keputusan ayah. Mungkin ada hikmah. Boleh jadi benda yang saya tidak suka itulah yang terbaik buat saya.

Saya dimasukkan ke SMKA Naim Lilbanat. Kata ayah,sekolah itu tersohor di Kelantan. Mahu masuk ke sekolah itu bukanlah senang. Beberapa buah kriteria perlu dituruti untuk menjaga kualiti sekolah tersebut. Pertama,seseorang peajar perlu mencapai 5A dalam UPSR.

Kedua,dia juga perlu melepasi ujian kelayakan untuk masuk ke sekolah SMKA yang dipantau oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan. Jika bagus pencapaiannya dalam ujian tersebut,maka seseorang itu akan dihantar ke sekolah yang bagus-bagus juga. Ujian kelayakan tersebut berupa ujian penilaian pengetahuan dan Kemahiran dalam Bahasa Arab,Tajwid,pengetahuan asas dalam bidang Agama dan sebagainya.

Walaupun hati kecil kata ‘tidak mahu’ untuk bersekolah di Kelantan,tapi saya telah menduduki ujian kelayakan tersebut dengan sangat jayanya.Dengan memperoleh peratus keseluruhan 90%,saya telah dipilih untuk menjadi salah seorang pelajar SMKA Naim Lilbanat.

Saya punya pengalaman yang sangat berharga sepanjang bersekolah di SMKA Naim Lilbanat ini.

Pertamanya ialah pengalaman bersekolah kerajaan(Al-Amin ada salah sebuah sekolah swasta). Sistem sekolah kerajaan dan sekolah swasta sangat berbeza. Sekolah Kerajaan banyak terikat dengan kurikulum yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran dan juga pihak Jabatan Pendidikan Negeri. Sekolah swasta juga turut mengikut kurikulum pihak kementerian yang berlainannya ialah pendidikan tambahan seperti subjek Hafazan dan Tilawah serta aktiviti ko-kurikulum nya yang agak unik dan berbeza berbanding sekolah-sekolah lain. Jadi,saya perlu membiasakan diri untuk menurut ‘arus’ bersekolah kerajaan. Benar,masing-masing punya kelebihan.

Naim Lilbanat sangat jauh dari rumah. Mahu tak mahu kena tinggal dan bertahan juga di situ. Keluar air mata darah sekalipun,saya tahu saya tak mungkin dapat mengubah keputusan ayah. Jadi saya fikir saya yang perlu mengubah diri sendiri. Belajar mematangkan diri,hadapi semua dengan sabar dan cekal serta berjanji dengan diri sendiri untuk mencapai keputusan PMR yang terbaik pula agar nanti boleh la saya jadikan ia sebagai alasan untuk memujuk ayah agar menukarkan saya untuk kembali bersekolah di sekitar Selangor/KL sahaja.

Tahun pertama di Naim merupakan tahun yang sangat mencabar buat saya. Namun,ia juga merupakan titik permulaan saya di Naim. Pengalaman bangun awal pagi untuk berebut bilik mandi,beratur untuk ambil giliran basuh baju,beratur untuk ambil ‘tray’ di dewan makan,hadapi kelas prep petang dan malam dan pengalaman menghadiri ‘Roll Call’ setiap kali pulang semula ke asrama dari kampung. Pada mulanya,memang penat menghadapi itu semua.Iya la,kita duduk rumah takkan adanya nak beratur berebutkan bilik air,beratur ambil makanan di dapur pun mustahil la. Tambahan lagi,kita makan nasi dalam pinggan di rumah.Bukan dalam ‘tray ‘ seperti di asrama.

Kepenatan saya duduk asrama jelas kelihatan bila setiap kali balik kampung,masa saya banyak dihabiskan dengan tidur sahaja. Mujur semua orang faham.Tapi itu semua waktu tahun pertama sahaja. Tahun kedua dan ketiga tidak begitu sebab sudah biasa. Jadi badan mula dapat menerima rutin seharian begitu.

Di antara program wajib untuk pelajar yang tinggal di asrama ialah gotong-royong asrama setiap minggu. Setiap dorm akan ditugaskan untuk membersihkan kawasan-kawasan yang telah ditetapkan oleh AJK asrama. Dalam tempoh dua jam,keadaan asrama akan dipastikan bersih,kemas dan kondusif untuk keselesaan para pelajar asrama juga.

Naim ini merupakan sekolah untuk pelajar-pelajar perempuan sahaja. Maka kelebihan di situ ialah,kurang juga masalah sosial kerana tiada lelaki. Mahu menjalankan perbincangan dalam pelajaran pun mudah. Masalah displin juga tidak begitu besar .Kes-kes sampai kena buang sekolah pun jarang didengari.Kes ‘couple’ sudah tentu tidak ada.


Tapi mungkin ada kes sebegini jika di luar waktu sekolah/outing/pulang ke kampung. Entah,saya pun kurang arif tentang ini. Dalam kelas pun mudah,kami bebas bertanyakan topik mana yang tidak dapat difahami kepada cikgu tanpa rasa malu-malu sebab semuanya rakan-rakan perempuan.Nak buat bising pun boleh,tak perlu segan tapi tetap ada batasannya juga lebih-lebih lagi jika ada guru dan sebagainya.

Tahun pertama juga,saya mengalami masalah dari segi bahasa. Kita ni orang KL. Jadi masih kurang berbahasa ‘Kelate’ dengan begitu fasih lagi. Pengalaman digelakkan kawan-kawan sekelas sebab pelat Kelantan saya agak kurang menjadi itu sudah menjadi perkara biasa. Maka,saya jadi seorang yang agak pendiam pada tahun pertama. Kita jadi ‘budak baik’ sikit. Tapi malam-malam sebelum tidur,agak selalu juga la saya berlatih bercakap ‘Kelate’ seorang-seorang dalam dorm. Semuanya gara-gara saya tidak mahu digelakkan lagi dan nanti senang la mahu bercampur dengan semua orang.

Naik tahun dua,masalah bahasa bukan lagi satu masalah dalam hidup saya waktu tu.Saya sudah menguasai sepenuhnya kemahiran berbahasa ini. Malah,mereka yang tidak tahu saya berasal dari mana sudah pasti mereka percaya habis yang saya ini anak Kelantan.Sebab pelat Kelantan saya sangat mantap. Mereka kata,lidah saya sudah jadi seperti lidah anak jati Kelantan.Tidak sia-sia saya menjadi budak ‘pendiam’ dan berlatih bercakap seorang-seorang waktu tahun pertama.Ia memang mendatangkan hasil yang memuaskan hati saya sewaktu masuk sahaja tingkatan dua.

Bermula pada tahun kedua la saya mula bergaul dengan ramai orang. Baik adik-adik ‘junior’ mahupun kakak-kakak ‘seniors’. Bermula tingkatan dua juga,saya mula aktif dengan aktiviti-aktiviti luar kelas seperti sukan Bola Jaring dan Kawad Kaki. Sibuk tak usah cakap. Jika tidak dapat mengurus masa dengan bijak,pasti boleh tersungkur dalam akademik dengan mudah.

Sering sahaja perasaan cemburu menyelubungi diri bila lihat kawan-kawan ke kelas prep petang,menyiapkan kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran.Tidak seperti saya yang bila waktu kelas prep petang saja,wajib turut padang. Sama ada berlatih kawad kaki di tengah padang di bawah panas terik matahari atau berlari di sekeliling padang untuk praktis bola jaring sebelum perlawanan bola jaring antara sekolah-sekolah peringkat daerah bakal tiba.

Waktu prep malam pula digunakan sungguh-sungguh untuk ‘cover study’.Buat kerja sekolah,siapkan projek Kemahiran Hidup,buku skrap,laporan sejarah,projek Geografi dan bermacam-macam lagi. Saya sering juga ‘mencuri’ waktu untuk menyudahkan tugasan peribadi lain seperti membasuh baju,kemas bilik,gosok baju dan sebagainya. Itulah rutin seharian saya di Naim. Jarang nampak saya bersenang-lenang. Amat susah untuk lihat saya punya waktu lapang,lepak-lepak dan borak-borak kosong. Sebab saya memang tidak punya masa rehat yang betul-betul.

Masa waktu sekolah,ditumpukan sepenuhnya perhatian dalam kelas,waktu prep malam focus untuk kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran. Tidur? Saya sudah biasa tidur lewat sejak dahulu lagi. Pernah juga kadang-kadang tidak tidur malam gara-gara mahu baca buku sebab keesokan harinya ada ‘exam’ Sains. Mujur soalannya mudah-mudah sahaja dan markah Sains juga memberansangkan pada waktu.

Saya bukan tidak boleh untuk memilih menjadi seorang pelajar yang duduk diam belajar dalam kelas,tidak sertai program luar kelas dan sebagainya. Tapi saya merasakan waktu muda ini sahaja saya boleh timba pengalaman menjadi sibuk dan mengukuhkan sifat-sifat yang ada dalam diri sendiri. Saya mahu genggam betul-betul peluang yang saya ada dan manfaatkan ia dengan sepenuhnya. Dan saya tahu,saya akan peroleh sesuatu dengan sertai aktiviti-aktiviti semua itu.

Jadi saya tidak pernah berasa kesal. Rasa cemburu pada kawan-kawan itu saya buang jauh-jauh sebab saya yakin,saya boleh tersenyum dengan melihat pencapaian saya dan kejayaan saya di atas pengorbanan ini nanti. Saya berjanji pada diri sendiri yang sesibuk mana pun saya,pelajaran dan akademik tidak wajar diketepikan.Saya mahu membuktikan pada mereka bahawa seorang pelajar yang tinggal di asrama,sibuk dengan ko-kurikulum boleh cemerlang seperti pelajar yang berulang-alik ke sekolah, tidak aktif dengan aktiviti luar dan mereka yang ambil kelas Tuisyen di luar(pada zaman saya dahulu,pelajar asrama tidak dibenarkan mengambil kelas tuisyen di luar).

Hasilnya,saya berjaya. Dalam bidang akademik,Alhamdulillah saya berjaya mencapai keputusan 9A dalam PMR. Dalam bidang ko-kurikulum pula,saya dan rakan-rakan sepasukan kawad kaki KRS SMKA Naim Lilbanat berjaya menjadi Johan Pertandingan Kawad Kaki KRS peringkat negeri Kelantan dan kami mewakili negeri Kelantan dalam pertandingan yang sama di peringkat kebangsaan buat dua tahun berturut-turut.

Sudah tentu yang membezakan SMKA dengan sekolah biasa adalah dari segi pengisian Rohaninya. Buat pelajar yang tinggal di asrama,pada setiap petang,sebelum masuknya waktu maghrib,kami diwajibkan untuk turun ke masjid baca mathurat bersama-sama dan seterusnya mengerjakan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah.

Bila saya naik tingkatan tiga di Naim,pihak sekolah menyarankan agar aktiviti solat subuh secara berjemaah dilaksanakan.Alhamdulillah,saranan tersebut diterima baik oleh semua pelajar asrama walaupun pada mulanya semua agak terlambat untuk ke masjid sebab belum biasa.

Setiap malam Jumaat dan Sabtu pula,pihak ajk Masjid akan menjemput ustaz-ustazah kami untuk menyampaikan pengisian buat kami. Aktiviti usrah juga sudah menjadi kelaziman buat kami pada setiap minggu.Kami akan dikumpulkan menurut kumpulan masing-masing yang telah ditetapkan,duduk dengan kakak yang telah ditugaskan untuk menjaga kami,sama-sama berkongsi pendapat,tadabbur Al-Qur’an,bincang isu semasa dan sebagainya.

Perkara lain yang membezakan SMKA dengan sekolah biasa lain ialah subjek Bahasa Arab yang menjadi subjek wajib diambil untuk peperiksaan besar seperti PMR dan SPM.

Saya bersyukur kerana saya bersekolah di SMKA. Kerana saya suka berada dalam tarbiyah yang sentiasa terjaga. Bukan bermakna saya ni suka berada dalam ‘Zon yang Selesa’ tapi saya tetap merasakan bahawa jiwa saya hanya boleh menerima dalam persekitaran sebegitu sahaja.Jika tidak,jiwa saya mungkin akan memberontak,saya pasti akan berubah menjadi diri saya yang lain. Biarlah subjek akademik yang diambil banyak di SMKA ni.Asalkan ilmu di dada juga bertambah dan boleh diamalkan dalam kehidupan.Biarlah rasa terbeban sedikit dari segi jumlah subjek yang mahu diulangkaji,asalkan ia kekal dalam sanubari ini.

Dengan keputusan PMR,saya berjaya ‘pulang’ ke rumah,bersekolah di KISAS yang merupakan salah sebuah sekoah berasrama penuh di Malaysia.

Bermacam-macam pengalaman yang telah dihadiahkan buat diri saya.Pengalaman dan kenangan tiga tahun bersekolah di Naim yang memegang amanah sebagai salah sebuah sekolah SMKA,pengalaman tinggal di asrama,pengalaman berjauhan dengan keluaga, pengalaman menyertai aktiviti luar sekolah,pengalaman menjadi seorang yang sibuk dan lain-lain lagi telah dipahatkan betul-betul dalam memori ini.

Sesungguhnya,semua itu banyak mengajar saya,membina dan mendidik sehingga lahirlah saya yang sekarang.Dalam adik-beradik saya,saya dikira sebagai seorang yang matang dan mampu berdikari alam usia yang muda. Jadi ayah dan emak tidak perlu bimbang lagi dengan anak mereka yang seorang ini. Emak tidak perlu bimbangkan saya yang selalu ditinggalkan keseorangan di rumah pada waktu saya cuti,tidak perlu risau tentang makan minum saya. Sebab saya sudah biasa untuk mencari jalan ‘menyelamatkan diri’.

Tidak sia-sia pengorbanan mereka menghantar saya bersekolah jauh-jauh .Saya sudah pasti tidak akan menghampakan mereka begitu sahaja.Saya mahu menjadi yang terbaik.Jika bukan terbaik pada pandangan orang lain,biarlah saya menjadi terbaik pada pandangan ayah dan emak saya.

Dan sekarang,saya boleh tersenyum dengan lebar.Mengenangkan diri saya yang degil dan suka memberontak dahulu dan membandingkan dengan saya yang sekarang yang sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri.Dari hari ke hari,saya masih mempertingkatkan diri sendiri.Saya juga manusia,dan manusia itu tidak pernah sempurna. Jika saya telah memulakan kehidupan saya dengan agak baik,dan saya juga mahu mengakhirkan hidup saya ini dengan baik juga.

Lihat,mungkin inilah hikmahnya. Inilah perancangan Allah buat saya. Seseungguhnya hanya Dia perancang yang terbaik.Dia jua yang Maha Mengetahui untuk hamba-hambaNya.

Maha Suci Allah

Setinggi-tinggi pujian hanya layak untuk Allah

Allah Maha Besar


0 comments

Post a Comment